Menyesal, berhenti lakukan dosa dan tekad tidak ulangi kesalahan
Taubat adalah rahmat Allah SWT yang diberikan kepada hamba-Nya supaya mereka dapat kembali kepada-Nya dalam keadaan suci daripada dosa. Islam melarang umatnya berputus asa daripada memohon rahmat dan keampunan Allah SWT walau setinggi mana dosanya.
Nabi Muhammad SAW menjelaskan hal ini dalam sabda: “Setiap anak Adam pernah berbuat kesalahan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan ialah mereka yang bertaubat (daripada kesalahan itu).”
Nabi Muhammad SAW menjelaskan hal ini dalam sabda: “Setiap anak Adam pernah berbuat kesalahan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan ialah mereka yang bertaubat (daripada kesalahan itu).”
Taubat dan mengaku segala kesalahan tidaklah membuat seseorang itu terhina di hadapan tuhannya kerana sesungguhnya Allah SWT sangat mencintai orang yang bertaubat dan menyucikan diri daripada kesilapan.
Taubat tidak mempunyai perantaraan bahkan pintunya sentiasa terbuka luas tanpa penghalang dan batasan. Allah SWT sentiasa menerima taubat hamba-Nya yang ingin kembali kepadaNya.
Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah di siang hari bersedia untuk menerima taubat orang yang melakukan kesalahan pada malam hari sampai matahari terbit daripada barat.”
Amat rugilah orang yang berputus asa daripada rahmat Allah SWT dan membiarkan dirinya terus menerus melampaui batasan agama. Padahal, pintu taubat sentiasa terbuka dan sesungguhnya Allah SWT mengampuni semua dosa kerana Dialah Yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang.
Taubat nasuha hanya berhasil apabila seseorang itu menyesal terhadap dosa yang dilakukan dan tidak mengulangi kesilapan itu.
Seseorang perlu memenuhi tiga syarat utama untuk membolehkan taubatnya diterima Allah SWT iaitu menyesal, berhenti daripada melakukan dosa dan bertekad untuk tidak mengulanginya.
Taubat seseorang tidak mempunyai erti jika tidak didahului dengan rasa penyesalan. Barang siapa yang tidak menyesal, maka hal itu menunjukkan bahawa dia suka akan perbuatan itu dan menjadi petanda dia akan terus menerus melakukannya.
Adakah kita percaya seseorang itu bertaubat sedangkan pada masa sama dia masih melakukan perbuatan dosa dengan rela. Hendaklah kita bertekad atas keikhlasan dan kesungguhan niat serta tidak main-main dalam perkara taubat ini.
Jika dosa itu berkaitan dengan manusia, maka dikehendaki kita meminta maaf kepadanya terlebih dulu seperti meminta dihalalkan sesuatu perkara, mengembalikan atau mengganti barang yang telah kita rosakkan atau curi dan sebagainya.
Namun jika dosa berkaitan mengumpat yang mana saudara tadi belum mengetahui yang dia telah diumpat atau dituduh maka cukuplah bagi orang melakukan perkara itu bertaubat kepada Allah SWT, mengungkapkan kebaikan saudaranya, mendoakan kebaikan serta meminta ampun untuk mereka.
Jika orang itu dimestikan untuk memberitahu kesalahannya secara terus terang kepada saudaranya yang telah dia umpat atau tuduh, maka hal ini dapat menimbulkan perbalahan serta permusuhan antara kedua-duanya.
Apabila Allah SWT mengkehendaki kebaikan bagi hambaNya maka Allah SWT membukakan pintu taubat baginya sehingga dia benar-benar menyesali kesalahannya, berasa hina dan rendah serta sangat memerlukan ampunan Allah SWT.
Diriwayatkan, seorang salaf berkata: “Sesungguhnya boleh jadi seorang manusia melakukan dosa tetapi dosa itu menyebabkannya masuk syurga. Orang bertanya: Bagaimanakah perkara itu boleh terjadi?
Beliau menjawab: Dia melakukan dosa lalu dan dosa itu sentiasa terpampang di hadapannya. Dia khuatir, takut, menangis, menyesal dan berasa malu kepada Tuhannya, menundukkan kepala di hadapanNya dengan hati yang khusyuk. Maka dosa itu menjadi sebab kebahagiaan dan kejayaan orang itu sehingga dosa itu lebih bermanfaat baginya daripada ketaatan yang banyak.”
Maka orang yang benar-benar berbahagia ialah orang menjadikan taubat sebagai sahabat setia dalam perjalanannya menuju Allah SWT dan negeri akhirat. Sedangkan orang yang binasa adalah yang mengabaikan dan meninggalkan taubat.
Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya seorang hamba apabila melakukan dosa maka di dalam hatinya terdapat satu titik hitam. Apabila dia meninggalkan dosa itu dan beristighfar serta bertaubat maka kembali bersih hatinya. Dan jika dia mengulanginya maka titik hitam itu akan ditambahkan padanya sampai sampai menjadi pekat, itulah ran (berkarat) yang disebutkan Allah SWT.”
Orang yang bertaubat telah melakukan perkara yang disukai Allah SWT. Di samping itu, Islam menganjurkan umatnya sentiasa beristighfar sekurang-kurangnya 100 kali sehari untuk melapangkan dada, menenangkan jiwa, mempercepatkan hajat dan diperkenankan segala permintaan. Nabi SAW sendiri pun beristighfar tidak kurang dari 70 kali setiap hari walaupun dosa baginda telah diampunkan.
0 comments:
Post a Comment