Friday, October 26, 2012

Filled Under:

Haji Dan Nilai Kemanusiaan




SELAIN Hari Raya Aidilfitri, umat Islam juga merayakan Hari Raya Aidiladha. Hari Raya ini jatuh pada tarikh 10 Zulhijah setiap tahun. Pada tarikh dan bulan yang sama, kaum Muslimin dari berbagai-bagai penjuru dunia melaksanakan ibadah haji di tanah suci. Aidiladha juga disebut Hari Raya Korban. Hal ini berkaitan dengan kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail, yang menggambarkan semangat pengorbanan Nabi Ibrahim ketika menyembelih Nabi Ismail. Dengan demikian, Aidiladha bermakna ganda, iaitu kebahagiaan umat Islam yang dimanifestasikan dengan menyembelih haiwan korban sebagai tanda kepatuhan kepada perintah Allah dan kebahagiaan umat Islam kerana dapat menunaikan ibadah haji serta memenuhi panggilan-Nya.


Korban bermula dari kisah bersejarah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail. Ujian bagi bapa dan anak ini menjadi teladan bagi umat Islam tentang cara mentaati perintah Allah. 


Pengalaman mereka itu dijadikan dasar ibadah haji. Dapat dikatakan bahawa ibadah haji dengan berbagai-bagai aktivitinya merupakan pelesterian dari pengalaman kerohanian mereka, sebab di dalamnya terdapat makna dan pelajaran bagi umat manusia secara keseluruhannya sampai akhir zaman.


Keteguhan Nabi Ibrahim dalam melaksanakan perintah Allah menjadi cermin bagi kita bersama, betapa beliau telah sanggup dan rela berkorban apa saja demi mendapatkan keredaan Allah . Begitu pula Nabi Ismail, sepatutnya kita warisi sebagaimana telah diwarisi oleh para pejuang tanah air kita pada masa lalu, di mana mereka telah merelakan harta benda, jiwa dan raga demi menegakkan keadilan dan kebenaran.


Korban disyariatkan untuk mengingatkan manusia bahawa jalan menuju kebahagiaan memerlukan pengorbanan. Akan tetapi, yang dikorbankan bukan manusia, bukan pula nilai-nilai kemanusiaan tetapi haiwan yang sempurna dan tidak cacat, sebagai petanda bahawa pengorbanan harus ditunaikan dan bahawa yang dikorbankan adalah sifat-sifat yang buruk dalam diri manusia, seperti rakus, mementingkan diri, mengabaikan nilai dan sebagainya. Sifat-sifat yang demikian itulah yang harus dibunuh, ditiadakan dan dijadikan korban demi mencapai qurban (kedekatan) diri kepada Allah.


Itu sebabnya Allah mengingatkan dalam firmannya yang bermaksud: Ketahuilah oleh kamu semua, bahawa Allah tidak melihat bentuk badan dan perbuatan lahir kamu, tetapi Dia melihat hati kamu. Dia tidak menginginkan kamu melakukan penyembelihan korban untuk sekadar mempamer-pamerkan diri. Tetapi Dia menginginkan kekhusyukan hati kamu. Maka dari itu, keredaan-Nya tidak akan boleh didapatkan melalui pembahagian daging dan penumpahan darah haiwan korban itu semata-mata, tetapi yang boleh mendapatkannya adalah ketakwaan dan ketulusan niat. Semua penundukan itu Kami lakukan demi kepentingan kamu dan agar kamu mengagungkan Allah atas petunjuk penyempurnaan ibadah haji yang diberikan-Nya. Dan berilah khabar gembira, wahai Nabi, kepada orang-orang yang berbuat dan berniat baik dengan pahala yang besar (surah al Haj ayat 37).


Bersamaan dengan itu pula, sekitar puluhan ribu umat Islam yang datang dari pelbagai pelosok dunia dan berkumpul di kota suci Mekah, di padang Arafah, di Muzdalifah, di Mina melakukan ibadah haji rukun Islam yang kelima seraya menggemakan kalimah talbiah.
Dalam melihat kaitan ibadah haji dengan nilai-nilai kemanusiaan, perhatikan isi khutbah Nabi s.a.w pada haji wada (haji perpisahan) yang isinya menekankan persamaan, keharusan memelihara jiwa, harta dan kehormatan orang lain dan tidak melakukan penindasan atau kekejaman terhadap kaum yang lemah.


Makna kemanusiaan dan pengalaman nilai-nilainya tidak hanya terbatas pada persamaan nilai antara perseorangan dengan yang lain, tetapi mengundang makna yang jauh lebih dalam dari sekadar persamaan tersebut. Ia harus mencakup seperangkat nilai-nilai luhur yang seharusnya menghiasi pemiliknya. Bermula dari kesedaran akan fitrah atau jati dirinya serta keharusannya menyesuaikan diri dengan tujuan kehadiran di pentas bumi ini.


Kemanusiaan menghantar putera-puteri Adam menyedari arah yang dituju serta perjuangan mencapainya. Kemanusiaan menjadikan makhluk ini memiliki moral serta kemampuan atau memimpin makhluk-makhluk lain mencapai tujuan penciptaan. Kemanusiaan menghantarnya menyedari bahawa ia adalah makhluk dwidimensi yang harus melanjutkan evolusinya hingga mencapai titik akhir. Kemanusiaan menghantarnya sedar bahawa ia adalah makhluk sosial yang tidak dapat hidup sendirian dan harus berinteraksi.


Makna-makna tersebut dipraktikkan dalam pelaksanaan ibadah haji, dalam acara-acara ritual atau dalam tuntutan bukan ritualnya, dalam bentuk kewajipan atau larangan, dalam bentuk nyata atau simbolik dan kesemuanya pada membawa jemaah haji hidup dengan dan pengalaman kemanusiaan universal.


Oleh kerana itu, pada peribadi kita masing-masing ini ada nilai-nilai kemanusiaan yang mendasar. Kejahatan kita pada seorang peribadi tidak boleh dibatasi sebagai kejahatan peribadi melainkan menurut al-Quran kejahatan pada manusia universal.


Penghargaan

Demikianlah, Tuhan memberi penghargaan kepada manusia sehingga Nabi Muhammad dalam khutbah wada’nya yang sangat terkenal, beliau memulai suatu mukadimah dalam bentuk pertanyaan, “Wahai umat manusia, tahukah kamu di hari apa kamu berada? Di bulan apa kamu berada? Dan di tempat mana kamu berada?” Semua menjawab, “Ya Rasulullah, kami berada di hari suci, di bulan suci dan di tempat yang suci.” Lalu Rasulullah mengatakan, “Oleh kerana itu ketahuilah bahawa darahmu, hartamu dan kehormatanmu itu suci sampai hari kiamat, sampai kamu menemui Tuhanmu.”


Kemudian beliau menghuraikan banyak hal, termasuk bagaimana perlakuan yang baik kepada buruh, kepada orang-orang yang bekerja untuk kita. Bagaimana perlakuan yang baik terhadap isteri pada waktu itu, dengan latar belakang Arab jahiliah wanita adalah salah satu komoditi di kalangan orang Arab. Bagaimana kita harus membebaskan hamba abdi. Bagaimana kita harus melakukan transaksi ekonomi dengan menghindari penindasan oleh sebahagian manusia kepada sebahagian manusia yang lain yang mengakibatkan kekayaan manusia adalah sedikit dan kemiskinan menjadi jumlah besar umat manusia dan seterusnya.


Ketuhanan yang Maha Esa, kemanusiaan, dan keyakinan adanya hari akhirat adalah makna-makna terdalam dari setiap amalan ibadah haji. Tanpa menghayatinya, ibadah tersebut tidak memiliki banyak erti bagi jiwa manusia. Dengan ketuhanan yang Maha Esa, Nabi Ibrahim mengumandangkan bahawa Allah adalah Tuhan sekalian alam, bukan Tuhan satu ras dan bangsa, juga bukan Tuhan yang terbatas untuk satu periode tertentu.


Penguasa pada masa Nabi Ibrahim, yang menyembah api, bertanya kepada Ibrahim, “Jika engkau enggan menyembah patung, mengapa tidak menyembah api?”


“Bukankah air memadamkannya?” Jawab Ibrahim.

“Kalau demikian mengapa tidak saja menyembah air?”

“Bukankah awan yang mengandungnya lebih wajar daripadanya,” kata Ibrahim lagi.

“Kalau demikian sembahlah awan!”

“Angin yang mengiringnya lebih kuasa.”

“Kalau begitu mengapa tidak menyembah angin?”

“Manusia yang menghembus dan menariknya lebih mampu,” jelas Ibrahim lagi.


Dialog di atas tidak dilanjutkan lagi, kerana cukup sudah bukti bahawa manusia apabila merenung dan berfikir secara cermat pasti akan sampai pada keyakinan tentang keesaan Allah.


Demikianlah cara Nabi Ibrahim menemukan keyakinan tauhid dan datang untuk mengubah wajah kemanusiaan. Benar bahawa sampai kini cukup banyak penemuan-penemuan manusia, namun, `penemuan’ Nabi Ibrahim merupakan penemuan makhluk manusia yang terbesar. Mengapa tidak? Bukankah dengan mengenal Tuhan yang Maha Esa manusia dapat mengenal jati dirinya serta mengenal dan mengatur hubungannya dengan alam?


Dengan keyakinan itu, lahir keyakinan tentang persamaan dan bahawa semua manusia sama darjat dari segi kemanusiaan. Ini dicerminkan, antara lain dengan kewajipan memakai pakaian ihram bagi yang melaksanakan haji dan umrah kerana `pakaian biasa’ sering kali menggambarkan perbezaan status manusia.


Dengan tauhid dan persamaan itu, neraca keadilan harus ditegakkan. Tetapi, kerana di dunia, neraca tersebut sering diabaikan, maka kelak pasti ada hari tertentu di mana neraca tersebut ditegakkan. Inilah makna ibadah haji yang harus dirasakan oleh setiap jemaah dan pelaksanaannya pada sisa hidup adalah petanda kemabrurannya

0 comments:

Post a Comment

Copyright @ 2013 INSANI.