Tuesday, November 11, 2014

16 KEMATIAN YANG DIINGINKAN



1. Mengucapkan kalimah syahadah ketika wafat. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang pada akhir kalimahnya mengucapkan La ilaaha illallah maka ia dimasukkan ke dalam syurga.” (Hadis Riwayat Hakim)

2. Ketika wafat dahinya berkeringat. Ini berdasarkan hadis dari Buraidah Ibnul Khasib. Adalah Buraidah dahulu ketika di Khurasan, melihat saudaranya yang tengah sakit, namun didapatinya ia sudah wafat dan terlihat pada jidatnya (dahi) berkeringat, kemudian dia berkata: “Allahu Akbar, sungguh aku telah mendengar Rasulullah bersabda: Matinya seorang mukmin adalah dengan berkeringat dahinya.” (Hadis Riwayat Ahmad, an-Nasai, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, Al-Hakim dan ath-Thayalusi dari Abdullah bin Mas’ud)

3. Wafat pada malam Jumaat. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Tidaklah seorang Muslim yang wafat pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali pastilah Allah menghindarkannya dari seksa kubur.” (Hadis Riwayat Ahmad)

4. Mati syahid di dalam medan perang.

5. Mati dalam peperangan fisabilillah.

Rasulullah bersabda, maksudnya: “Apa yang kalian kategorikan sebagai orang yang mati syahid di antara kalian?

Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah yang kami anggap sebagai orang yang mati syahid adalah siapa saja yang mati terbunuh di jalan Allah.

Baginda bersabda: “Kalau begitu umatku yang mati syahid sangatlah sedikit.”

Kalangan sahabat kembali bertanya: “Kalau begitu siapa sajakah dari mereka yang mati syahid wahai Rasulullah?”

Baginda menjawab: “Sesiapa yang terbunuh di jalan Allah, yang mati sedang berjuang di jalan Allah dan yang mati kerana penyakit kolera, yang mati kerana penyakit perut (iaitu disebabkan penyakit yang menyerang perut seperti busung lapar atau sejenisnya), dialah syahid dan orang-orang yang mati tenggelam, dialah syahid.”(Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan al-Baihaqi)

6. Mati disebabkan penyakit kolera. Mengenai ini banyak hadis Rasulullah s.a.w meriwayatkan antaranya sebagai berikut:
Rasulullah bersabda, maksudnya: “Penyakit kolera adalah penyebab mati syahid bagi setiap Muslim.” (Hadis riwayat Bukhari, ath-Thayalusi dan Ahmad)

7. Mati kerana tenggelam.

8. Mati kerana tertimpa runtuhan/tanah.

Dalil dari dua perkara di atas adalah berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud: “Kalangan syuhada itu ada lima; orang yang mati kerana wabak kolera, kerana sakit perut, tenggelam, tertimpa runtuhan bangunan dan syahid berperang di jalan Allah.” (Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Ahmad)

9. Perempuan yang meninggal kerana melahirkan anak.

10. Mati terbakar.

11. Mati kerana penyakit busung perut.

Mengenai kedua perkara ini banyak sekali riwayat dan yang paling masyhur adalah dari Jabir bin Atik secara marfu': “Kalangan syuhada ada tujuh: Mati terbunuh di jalan Allah, kerana penyakit kolera adalah syahid, mati tenggelam adalah syahid, kerana busung lapar adalah syahid, kerana penyakit perut keracunan adalah syahid, kerana terbakar adalah syahid dan yang mati kerana tertimpa runtuhan (bangunan atau tanah gelongsor) adalah syahid serta wanita yang mati ketika hamil adalah syahid.” (Hadis riwayat Imam Malik, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)

12. Mati kerana penyakit Tubercolosis (TBC).

Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: “Mati di jalan Allah adalah syahid dan perempuan yang mati ketika melahirkan adalah syahid, mati kerana terbakar adalah syahid, mati kerana tenggelam adalah syahid, mati kerana penyakit TBC adalah syahid dan mati kerana penyakit perut adalah syahid.” (Hadis riwayat Thabrani)

13. Mati kerana mempertahankan harta dari perompak. “Sesiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya (dalam riwayat lain; Sesiapa menuntut hartanya yang dirampas lalu ia terbunuh) adalah syahid.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasa’i, at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)

14. Mati dalam membela agama dan jiwa. “Sesiapa mati terbunuh dalam membela hartanya, dia mati syahid; siapa saja yang mati dalam membela keluarganya, dia mati syahid; sesiapa mati dalam membela agama (keyakinannya), dia mati syahid dan siapa saja yang mati mempertahankan darah (jiwanya) dia syahid.”

15. Mati dalam berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah. Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Berjaga-jaga (waspada) di jalan Allah sehari semalam adalah lebih baik daripada berpuasa selama sebulan dengan mendirikan (solat) pada malam harinya. Apabila dia mati, mengalirkan pahala amalannya yang dahulu dilakukannya dan juga rezekinya serta aman dari seksa kubur (fitnah kubur).”

16. Orang yang meninggal ketika mengerjakan amal soleh. Semoga kematian kita dalam husnul khatiimah.

Pukul Jika Meninggalkan Solat Ketika Umur 10 Tahun

Konsep balasan kepada kesalahan yang dilakukan oleh anak. Sehubungan dengan itu, kita harus mendenda anak sekiranya mereka cuai atau melakukan kesalahan. Berdasarkan ini, Islam mengharuskan kita memukul atau merotan anak sekiranya mereka meninggalkan solat ketika berumur sepuluh tahun. Pada usia ini ada antara anak kita yang telah mencapai umur baligh atau hampir baligh iaitu usia taklif. Akan tetapi apa yang diharuskan itu mestilah satu perkara yang munasabah.

Selain ibu bapa, para guru juga diharuskan mendenda atau merotan anak muridnya yang cuai atau melakukan kesalahan. Walau bagaimana pun janganlah terlalu mudah untuk mengenakan denda atau rotan tanpa cuba memperbaiki atau memperbetulkannya terlebih dahulu dengan pelbagai cara yang lain seperti nasihat. Perkara ini penting dilakukan bagi tujuan menanamkan perasaan pada anak bahawa denda atau rotan itu bertujuan untuk menghentikan mereka daripada melakukan kesalahan berulang-kali untuk kepentingan diri mereka sendiri. Lantaran, Islam lebih menggalakkan kita berlemah-lembut dalam menyampaikan ilmu kepada anak-anak agar matlamat mendidik anak-anak tersebut tercapai dan tidak menganggu perkembangan psikologi mereka. Contoh pendekatan Rasulullah saw dalam mendidik anak:


عَنْ فَاطِمَةَ بِنْتِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ: مَرَبِّي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَنَا مُضْطَجِعَةٌ مُتَصَبِّحَةٌ فَحَرَّكَنِي بِرِجْلِهِ ثُمَّ قَالَ: يَا بُنَيَّةَ قُومِي اشْهَدِي رِزْقَ رَبِّكِ، وَلاَ تَكُونِي مِنَ الغاَفِلِينَ، فَإِنَّ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقْسِمُ أَرْزَقَ النَّاسِ مَا بَيْنَ طُلُوعِ الفَجْرِ إِلَى طُلُوعِ الشَّمْسِ.[14]

Yang bermaksud, Daripada Fatimah binti Muhammad saw r.a berkata: Rasulullah selalu datang menghampiriku pada waktu subuh sedang aku nyenyak tidur maka Baginda menggerakkan aku supaya bangun dengan lbu jari kakinya sambil Baginda bersabda: Wahai anakku Fatimah, hendaklah anakanda bangun segera lihat rezeki daripada Tuhan anakanda dan janganlah anakanda menjadi orang yang pemalas. Hendaklah anakanda mengetahui Tuhan telah menetap pemberian rezekiNya kepada seluruh umat manusia di antara terbit fajar sehingga terbit matahari.

 Hadith yang lain,

وَقَدْ كَانَ النَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُ أَصْحَابَهُ أَنْ يُعَامِلُوا أَوْلاَدَهُمْ بِالرِّفْقِ وَاللَّيْنِ، وَيَضْرِبُ لَهُمُ المَثَلَ بِمَا يُمَارِسُهُ هُوَ بِنَفْسِهِ، فَقَدْ كَانَ يُصَلِّى يَوْمًا إِمَامًا، فَارْتَحَلَهُ الحَسَنُ ابْنُ بِنْتِهِ السَّـيِّدَةِ فَاطِمَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا، فَأَطَالَ السُّجُودَ، فَلَمَّا فَرَغَ قَالَتِ الصَّحَابَةُ، يَا رَسُولَ الله! أَطَلْتَ السُّجُودَ؟ فَقَالَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِنَّ ابْنِي ارْتَحَلَنِي فَكَرِهْتُ أَنْ أُعَجِّلَهُ.

Yang bermaksud, Baginda Rasulullah saw telah mengajar sahabat-sahabat Baginda bagaimana cara melayan anak-anak dan cucu-cucu mereka dengan lemah lembut dan Baginda sendiri telah menunjukkan sebaik-baik contoh sebagaimana yang diceritakan bahawa Baginda Rasulullah solat berjemaah di masjid dan Baginda sendiri menjadi Imam. Tiba-tiba cucunya yang bernama Hassan memaut leher Baginda ketika Baginda sedang sujud menunaikan solat. Rasulullah sebagaimana yang diriwayatkan memanjangkan sujudnya ketika itu. Setelah selesai solat, seorang sahabat bertanya: Engkau memanjangkan sujud?. Jawab Rasulullah saw: Cucuku sedang menunggangku maka aku tidak sampai hati tidak menyampaikan kehendaknya.

 Hadith lain pula,

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ، مَا رَأَيْتُ أَحَدًا أَشْـبَهَ سِمْتًا وَلاَ هَدْيًا بِرَسُولِ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ فَاطِمَةَ بِنْتِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَضِيَ اللهُ عَنْهَا، كَانَتْ إِذَا دَخَلَتْ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَامَ إِلَيْهَا فَقَبـَّلَهَا وَأَجْلَسَهَا فِي مَجْلِسِهِ، وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ عَلَيْهَا قَامَتْ مِنْ مَجْلِسِهَا فَقَـبَّلَتْهُ وَأَجْلَسَتْهُ فِي مَجْلِسِهَا.[15]  

Yang bermaksud, Daripada ‘Aishah telah berkata: Belum pernah aku melihat seorang pun menyamai Rasulullah saw di dalam ketenangan dan keraiannya yang mana Siti Fatimah binti Rasulullah saw ketika dia masuk berjumpa Nabi saw maka Rasulullah saw pun bangun dan memeluknya serta mempersilakan dia duduk di majlisnya. Begitu juga apabila Baginda masuk berjumpa Fatimah r.a, kemudian dia (Fatimah r.a) bangun dan memeluk Rasulullah saw serta mempersilakan duduk di majlisnya.

*Dipetik dari artikel PENDIDIKAN ANAK DENGAN SOLAT oleh Oleh: Y.B S.S Dato’ Hj.Mohd Murtadza bin Hj. Ahmad Mufti Kerajaan Negeri Negeri Sembilan Darul Khusus

Copyright @ 2013 INSANI.