Thursday, October 25, 2012

Filled Under:

Islamofobia: Penyakit ciptaan barat ?



Islamofobia
Islamofobia
 

MUNGKIN benar ada sekumpulan pelampau agama yang menjadi ancaman sebenar kepada keamanan dunia. Tetapi adakah sekumpulan manusia ini, yang merentasi pelbagai agama, boleh dijadikan alasan untuk dunia menyerang semua orang dalam agama itu?

Di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, inilah yang berlaku terhadap orang Islam. Hanya kerana propaganda AS yang tidak henti-henti bercakap mengenai pengganas Al-Qaeda, yang jumlahnya mungkin tidak sampai 0.1 peratus pun daripada jumlah umat Islam, satu stereotaip dilemparkan kepada orang Islam. Sehingga Biro Penyiasatan Persekutuan AS (FBI) membuat manual khas untuk mengenal pasti personaliti seorang Muslim. Lebih panjang janggut mereka, lebih ganas lah mereka.

Jadi apa yang menghairankan apabila November lalu, FBI mengeluarkan statistik jenayah m kebencian terhadap orang Islam di AS sepanjang 2010 meningkat hampir 50 peratus berbanding tahun sebelumnya. Laporan itu menunjukkan jenayah yang dibuat berdasarkan rasa prejudis terhadap orang Islam meningkat kepada 160 pada 2010 berbanding 107 pada tahun sebelumnya.

Pertubuhan Human Rights First menyuarakan kebimbangan terhadap angka itu. “Peningkatan ketara dapat dilihat mengenai keganasan anti-Muslim. Kami telah lama menuntut jenayah anti-Muslim, dan juga jenayah terhadap agama lain, dilihat sebagai pencabulan serius hak asasi manusia.

“Kerajaan AS perlu berbuat sesuatu untuk menandingi masalah ini,” kata wakil kumpulan itu, Paul Legendre.
Sentimen begitu kuat di AS terhadap orang Islam menjadikan agama itu satu ba- hagian penting dalam perbincangan sebelum pilihan raya negara itu, bulan depan.

Di seluruh negara, peningkatan Islamofobia menyebabkan orang Islam sukar membina masjid dan mengamalkan ajaran Islam, iaitu hak mereka yang tertakluk di dalam perlembagaan AS. Dalam pertandingan calon presidenkali  ini, ada calon meletakkan Islam dalam konteks negatif dalam usaha mereka menaikkan populariti dalam kalangan rakyat yang mereka anggap tidak mesra Islam. Sebagai contoh, bekas calon presiden, Herman Cain sebelum ini pernah berkata, jika dia dipilih sebagai  Presiden AS, dia berjanji tidak akan melantik orang Islam dalam Kabinet.

Walaupun ia kedengaran mengejutkan,  tetapi apa yang dikatakan Cain menjadi penanda keadaan Islam di AS. Pada 2010, calon Kongres Republikan menggunakan isu cadangan pembinaan pusat komuniti Islam di New York yang ingin dibina berhampiran tapak bangunan Pusat Dagangan Dunia dan undang-undang Sharia untuk mendapatkan sokongan.

Bulan lalu, satu iklan berunsur anti- Islam, pro-Israel ditampal di 10 lokasi stesen keretapi bawah tanah di New York. Ia menyebut: “Dalam mana-mana peperangan di antara lelaki bertamadun dan haiwan buas, sokonglah lelaki bertamadun. Sokong Israel. Tewaskan Jihad”.

Pengurusan stesen kereta api itu cuba menghalang iklan itu daripada ditampal, tetapi kumpulan yang membiayai iklan menghina Islam, terutama orang Palestin itu, memenangi arahan mahkamah supaya iklan itu terus ditayangkan.

Seorang aktivis berketurunan Mesir- Amerika ditahan polis dua hari selepas iklan itu ditayangkan, kerana dia menconteng iklan biadap itu. Sementara itu, sentimen Islamofobia yang kuat juga dilihat di Eropah, terutama selepas peristiwa serangan 9/11, menunjukkan betapa AS berjaya dalam perang psikologi menjenamakan orang Islam sebagai pengganas.

Satu tinjauan dilakukan oleh Yayasan Friedrich Ebert di Britain baru-baru ini mendapati sebanyak 45 peratus rakyat negara itu percaya terdapat terlalu ramai orang Islam di sana. Racun Islamofobia ini juga telah menjangkiti politik Eropah. Menurut tinjauan Pew Research Center, hampir 6 daripada 10 orang Eropah percaya orang Islam adalah pelampau dan separuh daripada mereka percaya orang Islam adalah ganas. Di Belanda, sebuah parti politik anti- Islam diketuai Geert Wilders adalah yang ketiga terbesar di Parlimen, menunjukkan parti itu mendapat sokongan kuat rakyat Belanda.

Lihat pula di Switzerland, negara dikenali tenang dan indah. Rupanya hatimereka tidaklah seindah muka bumi ciptaan ALLAH SWT kepada mereka. Parti Rakyat Swiss, iaitu yang terbesar di negara itu, memenangi pungutan suara mengharamkan pembinaan menara masjid yang digelar setiausaha agung parti itu sebagai ‘simbol kuasa Islam’.

Ketika pungutan suara itu dijalankan, sebuah masjid di Geneva berulang kali dirosakkan pelampau. Perancis adalah negara dengan jumlah penduduk Islam terbesar di Eropah. Tetapi tindakan kerajaan yang berterusan menyasarkan orang Islam menyebabkan tinjauan dilakukan akhbar utama, Le Monde menunjukkan 42 peratus rakyat negara itu percaya kehadiran orang Islam menjadi ancaman kepada mereka.

Parti politik National Front yang membawa sentimen anti-Islam mendapat undian paling tinggi dalam sejarahnya semasa pilihanraya umum Perancis, April lalu. Di Denmark, parti politik ketiga terbesar negara itu iaitu Parti Rakyat,berjuang menentang ‘pengIslaman’ dan menuntut migrasi semua orang bukan Barat ditamatkan.

Parti anti-Islam Vlaams Belang pula semakin mendapat tempat di Belgium, negara yang mempunyai perdana menteri homoseksual pertama. Ini membuktikan Islamofobia telah menjadi penyakit di Eropah. Adakah orang Barat akan menerima cadangan OIC supaya Islamofobia dijadikan jenayah, sama sebagaimana negara lain menghalang ucapan anti-Yahudi? Mungkin tidak.

0 comments:

Post a Comment

Copyright @ 2013 INSANI.