Monday, April 21, 2014

Filled Under:

Jahiliah Dalam ‘Tarbiah Islamiah’


“Sekolah itu ada mengajar Tahfiz. Quran, Hadith, Aqidah, Fekah, semua ada” kata seorang lelaki.
Rakannya mengangguk.
Berpuas hati.

Apabila kita melihat Pendidikan Islam, kita akan menilai pilihan-pilihan yang ada pada dua perkara:
  1. Status sekolah tersebut sama ada ia SMKA, SMA, SMABP, Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Integrasi atau bagaimana (INSTITUSI)

  2. Apa yang diajar di sekolah tersebut, dari segi mata pelajaran, aliran, peperiksaan yang diduduki (SILIBUS)
Sudah tentu, kedua-duanya banyak dibantu pula oleh persekitaran dan pergaulan di sekolah tersebut sama ada baik atau sebaliknya. Mereka yang lebih arif menyebutnya sebagai isu BI’AH (بيئة) sama ada ia solehah atau tidak.

Tetapi kita sering terlepas pandang, bahawa ada satu lagi dasar penting yang menentukan sama ada pendidikan yang ditawarkan itu adalah pendidikan Islam atau tidak. Selain institusi dan silibus, isu pokok yang mesti diberi perhatian adalah BAGAIMANA IA DIAJAR.
Pedagogi!
Sebuah sekolah mungkin dianggap sekolah berpendidikan Islam kerana ia diinstitusikan sebagai sekolah Islam. Silibus yang diajar pula merupakan mata pelajaran pengajian Islam. Tetapi bagaimanakah ia diajar? Apa pendekatan yang dipakai dalam mengajar? Bagaiamana bentuk interaksi guru dengan murid pada mendidik, memotivasi, memberi ganjaran, menegur malah menghukum pelajar yang melakukan kesalahan?
Bisa sahaja sebuah sekolah itu namanya sekolah agama, subjek yang diajar adalah subjek agama, tetapi cara mengajar adalah jahiliah dan bertentangan dengan agama.

Mengaibkan pelajar, membahasakan mereka dengan bahasa sukhriyyah (sarcasm), mengancam, mengherdik, membaling pemadam papan putih, apakah semua itu ada sandarannya pada amalan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam? Apakah ia diamalkan di dalam sistem pendidikan Baginda? Apakah sekolah yang melahirkan al-Ghazali, al-Shafie, Ibnu Sina, al-Farabi, Ibn Taimiyah atau Badiuzzaman Said al-Nursi mengamalkan cara sedemikian rupa?

Ini persoalan yang amat kritikal.

Di dalam metod Khalifah, murid-murid dididik untuk menjayakan tiga matlamat pendidikan iaitu:
  1. Choose to be good (memilih untuk jadi baik)
  2. Help others to be good (membantu orang lain untuk jadi baik)
  3. Keep the physical world good and pleased by Allah (memelihara persekitaran fizikal agar berkeadaan baik dan diredhai Allah)

Dalam tiga matlamat itu, perkataan yang paling mahal adalah CHOOSE.

Memilih untuk jadi baik.
Ramai murid sekolah kita baik semasa di sekolah. Tambahan pula yang persatuan agama dan aktiviti keagamaannya sihat. Mereka terus sihat apabila dikurniakan rezeki selepas tamat SPM, menuntut di universiti yang berada di lokasi yang kuat aktiviti Islam di sekitarnya, sama ada dalam negara atau luar negara, negara Arab atau negara Barat.

Tetapi dalam banyak keadaan, sebaik sahaja tiada persekitaran yang memprogramkan kebaikan itu, anak murid keluaran sekolah baik-baik ini hanyut. Kita menyebutnya bukan dengan bangga atau gembira, malah dengan dukacita dan sedih pada memikirkannya.

Soalnya mengapa?

MEMILIH untuk jadi baik amat berbeza daripada TERPAKSA jadi baik atau DIPAKSA menjadi baik.
Untuk seseorang itu MEMILIH menjadi baik, ia bukan bergantung kepada APA YANG DIAJAR atau DI MANA DIA DIAJAR tetapi amat berkait rapat dengan BAGAIMANA DIA DIAJAR.
Mendidik anak, mendidik anak murid, jangan hanya pada Islamnya apa yang diajar. Tetapi sangat penting untuk menentukan keislaman cara ia diajar.
Di sebuah sekolah agama, yang mengajar subjek agama, mungkin Jahiliahnya ialah pada PEDAGOGI.
Yang memusnahkan segala-galanya.

HASRIZAL
43000 BSP

 Artikel Ini Telah Dibaca Oleh (10051) Pelawat
- See more at: http://saifulislam.com/2014/04/jahiliah-dalam-tarbiah-islamiah/#sthash.5oMumxes.dpuf

0 comments:

Post a Comment

Copyright @ 2013 INSANI.