Saturday, October 20, 2012

Filled Under:

PEMUDA YANG BER"IBUBAPA"KAN 'BABI'


Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T 
Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia
akan bercakap dengan Allah. Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu 
itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.


Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga 

nanti yang akan berjiran dengan aku?".


Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. 
Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut
tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga
Nabi Musa ke tempat berkenaan.


Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan
orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.


Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu 
di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. 
Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?" kata 
Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.


Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta 
dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali 
lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan 
dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. 
Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.


Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara ! Apa agama kamu?". 
"Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela 
babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa.


"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibu bapa kandungku. 
Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka 
menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya 
dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari 
aku berbakti kepada kedua ibu bapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa 
mereka sudah menjadi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya.


"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon 
supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi 
Allah masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi.


Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa, inilah 
orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepada 
kedua ibu bapanya. Ibu bapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. 
Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."


Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam 
anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibu bapanya 
yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."


Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibu bapa yang akan 
masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti 
kepada ibu bapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. 
Mudah-mudahan ibu bapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.


Walau bagaimana buruk sekalipun perangai kedua ibu bapa kita, itu bukan urusan kita, 
urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka 
menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.


Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, 
urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya kedua ibu bapa kita diampuni 
Allah S.W.T.


Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibu bapanya mendapat tempat yang baik di 
akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibu bapa di alam kubur.


Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, 
tetapi sayang seorang anak pada kedua ibu bapanya ialah dengan doanya supaya 
kedua ibu bapanya mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah.



Renungan : 
Sejauh mana ketaatan kita pada ibu bapa kita sekarang?? kita lebih rapat dengan mereka atau 
dengan kawan-kawan kita?? kita betul-betul sayang tak dengan mereka?? tanya diri masing-masing..
.

0 comments:

Post a Comment

Copyright @ 2013 INSANI.