Diet seimbang adalah amalan pemakanan sihat pelihara muslim daripada serangan penyakit.
Kesempurnaan Rasulullah SAW sebagai kekasih Allah tiada tolok banding yang menjadi ikutan Muslim sedunia termasuk diet makanan Baginda.
Rahsia Rasulullah SAW menjaga kesihatan rohani dan jasmani untuk menyampaikan seruan Allah kepada umatnya ialah sabda Baginda bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak akan makan melainkan apabila sudah terasa lapar dan apabila kami makan, tidak pernah sampai kenyang.”
Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), amalan gaya hidup mewah masa kini (makan makanan tinggi lemak dan kurang bersenam) menyebabkan peningkatan penyakit kronik seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, diabetes dan kanser.
Pertubuhan Jantung Amerika Syarikat menyarankan, semua kanak-kanak dan orang dewasa perlu mengumpulkan sekurang-kurangnya 30 minit aktiviti fizikal sederhana pada kebanyakan hari atau sebaik-baiknya setiap hari dalam seminggu.
Daripada Aisyah, “Bala yang pertama sekali berlaku kepada umat ini sesudah kepergian Nabi SAW ialah kekenyangan perut, sebab apabila sesuatu kaum kenyang perutnya, gemuk badannya, lalu akan lemahlah hatinya dan akan bermaharajalela syahwatnya.”(Hadis riwayat Bukhari ).
Selain menjaga kebersihan, Rasulullah SAW makan makanan seimbang, makan perlahan-lahan, sederhana dan berkongsi makanan. Rasulullah SAW suka makan susu, buah-buahan, tamar, daging, madu, sayur dan bubur kerana makanan itu mempunyai khasiat yang tinggi.
Susu adalah makanan lengkap, kaya dengan protien, kalsium, vitamin A dan B, zat protien berkualiti tinggi penting untuk membina dan membaiki tisu badan serta membentuk antibodi melawan jangkitan penyakit.
Zat kalsium dalam susu mudah diserap oleh badan, penting untuk elak ‘osteoporosis’. Susu juga mengandungi zat fosforus, magnesium, potassium, Vitamin B2 (riboflavin) dan Vitamin D. Susu lembu mempunyai 87 peratus air dan 13 peratus pepejal.
Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya pada binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang yang meminumnya.” (Surah An-Nahl, ayat 66)
Buah kurma (serasi dengan tubuh badan manusia), anggur, zaitun, delima mengandungi serat semula jadi yang tinggi (penting untuk mengelak sembelit), Vitamin A (penting untuk mata/penglihatan), gula, berbagai vitamin dan mineral serta air penting bagi kesihatan badan.
Siti Maryam menggoncangkan pohon kurma selepas melahirkan anaknya Nabi Isa untuk dijadikan ubat berkhasiat dan memulihkan tenaga.
Firman Allah bermaksud: “Dan goyangkanlah pangkal pokok kurma itu ke arah mu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah yang masak kepadamu, maka makan serta minumlah dan bersenanglah kamu.” (Surah Maryam, ayat 25)
Daging juga menjadi sumber zat protien yang utama untuk tumbesaran manusia, membekal lemak, vitamin dan mineral (zat besi dan zink). Lantaran itu Rasulullah SAW menggemari makanan rendah lemak dan kolesterol.
Sementara, madu kaya dengan gula, sedikit air, vitamin dan mineral penting untuk kesihatan. Selepas subuh, Rasulullah SAW memulakan sarapannya dengan segelas air dicampur sesenduk madu asli. Di tinjau dari ilmu kesihatan, madu berfungsi membersihkan lambung, mengaktifkan usus, menyembuhkan sembelit dan peradangan.
Masuk waktu dhuha, Rasulullah SAW selalu makan tujuh biji kurma ajwa’ untuk menghindari keracunan. Ketika seorang wanita Yahudi meletakkan racun dalam makanan Rasulullah ketika perang Khaibar, bisa racun itu kembali tawar oleh zat-zat terkandung dalam kurma. Sebab itu Rasulullah SAW mengibaratkan orang yang rumahnya tiada kurma sebagai orang miskin.
Rasulullah SAW tidak makan dua jenis makanan panas atau dua jenis makanan dingin secara bersamaan. Beliau juga tidak makan ikan dan daging dalam satu waktu dan tidak tidur selepas makan kerana tidak baik untuk jantung.
Jika terlalu banyak makan daging akan memberi kesan kepada sendi dan ginjal. Saidina Umar memperingatkan: “Jangan kau jadikan perutmu sebagai kuburan bagi haiwan ternak.”
Rasulullah SAW melarang (makruh) meniup atau menghembus nafas ke dalam bekas air kerana akan berlaku tindak balas yang merubah kadar kealkalian (pH) air itu.
Sayur-sayuran menjadi pilihan Rasulullah SAW kerana secara umumnya sayur-sayuran memiliki kandungan zat dan fungsi memperkuat daya tahan tubuh dan melindungi daripada serangan penyakit serta mencegah penyakit berpunca daripada gula.
Rasulullah SAW makan cuka dan minyak zaitun yang dicampurkan dengan makanan asasi seperti roti. Ia bermanfaat mencegah lemah tulang, melancarkan sembelit, menghancurkan kolestrol, melancarkan pencernaan dan menjaga suhu tubuh pada musim sejuk.
Baginda melebihkan makanan berasaskan bijirin dan ubi kerana ia membekalkan karbohidrat kompleks, vitamin, mineral dan serat. Mengikut piramid makanan, kita disarankan mengambil 8 hingga 12 hidangan makanan berasaskan bijirin dan ubi dalam sehari.
Ini bermakna Rasulullah SAW meninggalkan tatacara makanan yang lengkap untuk diteladani. Namun, umat Islam masih dibelenggu pelbagai penyakit yang menyebabkan perbelanjaan orang Islam dihabiskan untuk perubatan serta makanan tambahan.
Oleh itu, untuk membentuk kesinambungan generasi Islam, maka tabiat dan cara makan harus mencontohi Rasulullah SAW.
Sabda Nabi SAW: “Barang siapa yang sedikit makan, maka perutnya akan sihat dan hatinya akan bersih. Sebaliknya barang siapa yang banyak makan, maka perutnya akan ditimpa sakit dan hatinya keras.” (Hadis riwayat Huzaifah).
Humaka’ ada berkata: “Kesihatan itu adalah mahkota di atas kepala orang yang sihat dan ia tidak dapat dilihat melainkan orang yang sakit dan perut adalah kepala segala penyakit dan pencegahan itu adalah kepala segala ubatan.”
0 comments:
Post a Comment