Petang itu selepas sembahyang ansar,Imam Malik bertemu dengan Ibnu Syaibab az-Zuhri lalu menyatakan hasratnya mahu menuntut ilmu hadis.
"Menurut sahabatku Imam Abdul Rahman al-Rai, kamu sudah dapat menghafal Al-Quran. Menurut Rabi'ah al-Rai pula kamu sudah dapat menguasai ilmu fikah. Apakah kamu masih belum berpuas hati dengan ilmu yang sudah pelajari ?" tanya Ibnu Syibab az-Zuhri.
"Saya mahu mempelajari ilmu hadis pula . Sekiranya ilmu itu belum dipelajari,saya rasa hidup ini belum lengkap. Jadi saya mahu berguru dengan tuan. Terimalah saya sebagai murid tuan,"jawab Imam Malik lalu menyatakan kesungguhannya mahu mempelajari ilmu hadis.
Melihat kesungguhan Imam Malik itu, Ibnu Syibab az-Zuhri tidak keberatan menerima permintaannya. Malah dia merasa gembira, kerana Imam Malik memilih dia sebagai gurunya. Keesokan harinya , Imam Malik memulakan pembelajarannya . Tetapi dia datang cuma membawa seutas tali. Setiap kali mendengar guru membaca sebuah hadis , dia membuat simpulan pada tali itu bagi memudahkan dia mengingatinya. Perbuatan Imam Malik itu menimbulkan rasa hairan pelajar yang lain lalu mengadukannya kepada guru mereka.
"Apakah yang sedang kamu lakukan?" tanya Ibnu Syibab az-Zuhri.
"Saya sedang belajar,"jawab Imam Malik.
"Saya lihat kamu asyik bermain tali,"kata Ibnu Syibab az-Zuhri lagi.
"Saya sedang menghafal hadis-hadis yang tuan bacakan,"jawab Imam Malik .
"Bagaimana kamu lakukannya," tanya Ibnu Syibab az-Zuhri lagi.
"Setiap kali saya mendengar tuan membaca hadis , saya menghafalnya lalu saya buat satu simpulan pada tali ini, dengan itu memudahkan saya mengingatinya,"jawab Imam Malik.
Bagi menguji kebenaran kata-kata itu, Ibnu Syibab az-Zuhri menyuruh Imam Malik membaca sebuah hadis yang baru dibacakannya. Imam Malik membacanya dengan lancar tanpa sepatah huruf pun yang tinggal. Semua kagum dengan kebolehan Imam Malik.
Pada suatu hari , Ibnu Syibab az-Zuhri membacakan sebanyak 30 buah hadis secara terus-menerus. Imam Malik hanya dapat menghafalnya sebanyak 29 buah sahaja. Dia berasa susah hati lalu bertanya kepada kawan-kawannya. Tetapi mereka juga tidak sempat menyalinnya.
"Bolehkah tuan mengulangi semula hadis-hadis yang dibacakan semalam ?"tanya Imam Malik pada keesokan harinya.
"Bukankah saya suruh kamu hafal hadis-hadis yang saya ajar?"marah Ibnu Syibab az-Zuhri.
"Saya hanya menghafal sebanyak 29 hadis tetapi terlupa sebuah hadis,"jawab Imam Malik.
"Sekiranya begitu cuba bacakan hadis-hadis yang kamu sudah hafal,"pinta Ibnu Syibab az-Zuhri.
Imam Malik pun mengeluarkan tali yang disimpulnya. Kemudian dia membaca hadis yang dihafalnya satu demi satu berpandukan pada simpulan tali itu sehingga selesai 29 buah hadis. Barulah Ibnu Syibab az-Zuhri tahu hadis mana yangn belum dihafal anak muridnya itu.
Sejak itu ramai yang cuba meniru cara Imam Malik menghafal hadis dengan cara menggunakan simpulan pada tali tetapi mereka tidak berjaya. Mereka juga bertanyakan rahsianya namun Imam Malik sendiri tidak dapat menjelaskannya.
"Sesungguhnya saya sangat menghormati serta mencintai hadis-hadis Rasullulah saw . Setiap kali mendengarnya saya tumpukan sepenuh perhatian hingga seolah-olah dada saya terbuka bagi menerima kemasukan hadis-hadis itu lalu melekat dalam ingatan saya,"beritahu Imam Malik.
Petikan :
Daripada "Buku Imam-Imam Yang Benar"
0 comments:
Post a Comment