Friday, September 21, 2012

Filled Under:

Rahsia Serangan Tangan Dajjal (hidden hand) Bencana Serangan Liberalis, Mampukah Malaysia Bertahan?




Tangan Dajjal (hidden hand)

Apa tanggung jawab anda dalam menghalang "FITNAH" ini dari menghancurkan ummah? Ia tak ubah sebagai salah satu FITNAH DAJJAL yang sedang menular dengan rakusnya sehingga para ulama pun kehilangan cara untuk menahannya.
Kita perhatikan, apabila ia dikatakan sebagai "Fitnah Dajjal" maka ada diantara kita akan segera menafikannya. Sebab apa mereka nafikannya? Sebab ia tidak menguntungkan mereka barangkali. Atau mereka sudah pun terhasut dan sedang berada dibawah naungannya. 
Malapetaka ini tidak mempamirkan bahangnya sebagaimana gunung berapi. Ia tersembunyi secara rahsia di sebalik agenda lain. Wayang dipertontonkan bagi menghalang agar kewujudannya tidak terzahir secara nyata kepada masyarakat. Malangnya ada ulama yang berpengaruh telah tahu mengenainya tetapi sengaja mendiamkan diri demi cita-cita tersembunyi. Sesuatu yang amat mengecewakan. Di sinilah terselindungnya ujian maha dahsyat ini. Memaut dan mengheret banyak jiwa yang tidak berdosa untuk ikut bersubahat.
"Dajjal memiliki gunung roti ketika manusia sedang kelaparan". Mungkin ada yang dapat memahami makna tersirat ini. Akibat gagal dalam ujian ini, akan tenggelamlah mereka dalam kekufuran. Mungkin kita masih dapat bertahan, bagaimana dengan anak dan cucu kita nanti?
Suatu hari nanti mungkin dalam masa terdekat, agenda mereka akan dihalalkan. Ia bakal diangkat sebagai "kebebasan sejagat" apabila pendokongnya mempunyai kuasa. Pada waktu itu, penularannya sudah pasti tidak dapat dibendung lagi. Nasi sudah bercampur najis, jika ia setakat menjadi bubur masih lagi dapat kita jamah walaupun tak sesedap nasi.

 

LIBERAL, LIBERALIS, ISLAM LIBERAL dan LIBERALISMA DI MALAYSIA

Golongan ini semakin menonjolkan diri semenjak peristiwa 11 September 2001, ketika umat Islam dilanda krisis dan fitnah yang dilemparkan oleh Barat dan pendokong-pendokong mereka. Ada pihak yang mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh, cuba menjadi wira dengan memperkenalkan “moderate muslim”, kononnya bagi menunjukkan ajaran Islam itu ramah (Islam baru yang lebih ramah), walhal agama Islam sudah sememangnya ramah dan sememangnya bersifat wasatiyah. Mereka bukanlah meramahkan Islam sebaliknya meremehkan hukum dan ketetapan Islam itu sendiri. Semestinya golongan ini mendapat pengiktirafan dan sumbangan dari Barat sama ada dari segi peruntukan dan sebagainya.

Siapakah mereka?

Mereka ialah pendokong dan penganut Islam Liberal yang menjadikan ideologi liberalisme sebagai pegangan mereka.

Umat ini memang ditimpa pelbagai masalah dan musibah, tetapi penyelesaiannya bukanlah dengan mengimport ideologi-ideologi kufur yang bertuhankan selain Allah ataupun menempelkan ideologi-ideologi ini pada Islam. Bahkan mereka menjadikan Islam semata-mata sebagai “cosmetic make-up” bagi mengaburi mata umat, sedangkan di sebaliknya mereka membawa satu agenda Kristianisasi yang sangat halus. Kristianisasi ini bukanlah semata-mata mengkristiankan orang Islam, tetapi sudah cukup dengan mengeluarkan orang Islam daripada pegangan mereka yang asal.

Saya tidak ingin merungkai panjang sejarah asal liberalisme, tetapi kita perlu mengetahui bahawa liberalisme adalah kesinambungan sekularisme iaitu pengasingan agama daripada pengurusan pemerintahan dan kehidupan. Liberalisme ialah ideologi yang lebih “advance” iaitu manusia mempunyai kebebasan mutlak dalam tingkah laku mereka tanpa terikat kepada undang-undang atau penetapan dan meletakkan neraca akal dan logik melebihi segala-galanya termasuk neraca wahyu. Kebanyakan penganut Islam Liberal menggelarkan diri mereka sebagai reformis dan golongan ‘renaissance’ yang kononnya membawa perubahan pada masyarakat, padahal mereka hanya meruntuhkan sesuatu yang sudah kukuh tanpa membina sesuatu yang baru. Secara ringkasnya mereka hanya ada kemahiran meruntuhkan tanpa kemahiran membina.

Jika kita menyingkap kembali isu-isu yang berlaku di sekitar tahun 2012 di Malaysia, daripada isu murtad dan kristianisasi hinggalah isu kemasukan tokoh liberal ke negara ini, dapat kita lihat corak dan strategi mereka yang akan menangguk di air yang keruh, berusaha mempamerkan diri mereka sebagai penyelamat dan penyelesai masalah bahkan menggambarkan pihak berautoriti agama sebagai pihak yang bersalah. Antaranya dalam isu LGBT, Erykah Badu, Hamzah Kashgari, Irshad Manji dan isu terbaru berkenaan gerakan Syiah di Malaysia.

Jika diteliti kenyataan-kenyataan mereka khususnya Islamic Renaissance Front (IRF) terhadap isu-isu berkenaan, mereka sering memetik dan menterjemahkan ayat 256 daripada Surah al-Baqarah yang bermaksud, “Tiada paksaan dalam urusan agama,” dan menggunakan ayat ini bagi menyokong slogan “freedom of speech” iaitu kebebasan suara. Sedangkan ayat ini sebenarnya bermaksud, “Tiada paksaan dalam menganut agama Islam”, dan ayat ini ditujukan kepada golongan bukan Islam yang mana mereka tidak boleh dipaksa untuk menganut agama Islam. 
Bagi penganut Islam pula, setelah menganut agama Islam, mereka perlulah mengikuti dan mentaati perintah arahan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t dan terikat kepada peraturan dan undang-undang Islam. Kebebasan bersuara melebihi sempadan syara’ bukanlah suatu yang bersifat moderat bahkan ekstrim dalam bersuara, sehingga ke tahap menafsirkan Al-Qur’an sesuka hati mengikut nafsu mereka. 
Neraca mereka bukanlah Al-Qur’an, Sunnah, Ijma’ Ulamak dan Qiyas lagi, tetapi ‘sunnah’ Human Right Watch dan Deklarasi Universal Hak-Hak Asasi Antarabangsa (Universal Declaration of Human Rights (UDHR) 1948). Bahkan sewenang-wenangnya berijtihad menggunakan dalil-dalil syaral dengan menggunakan logik akal tanpa berpandukan kaedah-kaedah syarak yang betul dan syarat-syarat yang telah ditentukan.


Siapa di sebalik mereka?

Jika dilakukan sedikit kajian, di sebalik golongan Islam Liberal ini terdapat pemikir-pemikir barat seperti Cheryl Benard, Benard Lewis, Richard Nixon dan beberapa orang lagi yang sebahagian besarnya terlibat dalam penafsiran Islam Liberal. 
Usaha pembiayaan golongan liberal ini juga berjalan secara terancang bagi mengangkat golongan ini di mata dunia. Setelah Barat memecahkan umat Islam kepada kelompok ‘fundamentalist’ dan ‘moderate’ mengikut tafsiran mereka sebelum ini, mereka cuba mencipta pecahan kelompok Islam yang baru iaitu Islam Liberal dengan menggunakan nama Moderate Islam, yang mana diangkat sebagai Islam yang dikatakan sederhana dan melabelkan golongan fundamentalist sebagai golongan yang ekstrim dan radikal.
Mengikut laporan tahunan 2010 oleh National Endowment of Democracy (NED) yang diterbitkan pada Ogos 2011, terdapat beberapa organisasi di Malaysia yang menerima dana yang dibiayai mereka bagi mempromosi usaha-usaha demokrasi yang selari dengan objektif NED (Amerika Syarikat), antaranya media online seperti Malaysiakini, dan badan NGO hak asasi manusia seperti SUARAM. 
Pembentukan golongan moderat ini bagi membentuk persekitaran politik dan undang-undang di negara Islam seperti yang dicita-citakan oleh Barat, mengikut acuan mereka.

Umat Islam perlu melihat permasalahan ini dari sudut pandangan yang lebih luas dan dalam, tanpa terperangkap dalam kotak pemikiran yang sempit termasuk melalui perspektif politik kepartian. Kita perlu sedari bahawa peperangan sekarang ialah peperangan arus globalisasi, antara Arus Globalisasi Barat dan Arus Globalisasi (‘Alamiyah) Islam. Arus mereka berpadu dan bersepakat dalam mengikis jati diri umat Islam termasuklah umat Islam Melayu di Malaysia. 
Penting bagi pihak kerajaan, pembangkang dan rakyat untuk menilai apakah aulawiyat (keutamaan) semasa, dalam menjaga kepentingan orang Melayu selaku majoriti umat Islam di negara ini. Kesepakatan tanpa kompromi amatlah perlu dalam membendung ideologi-ideologi ini. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Jangan nanti sudah terhantuk baru terngadah.

Tahniah diucapkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia atas usaha beliau meletakkan Agenda Islam Dalam Transformasi Negara dan juga jaminan yang diberikan bahawa LGBT, liberalisme dan pluralisme tidak akan mendapat tempat di negara ini. Begitu juga cadangan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS agar penetapan Islam sebagai cara hidup diperuntukkan di dalam Perlembagaan Malaysia.

Komitmen semua pihak, tidak kira pihak kerajaan, pembangkang, kerajaan-kerajaan negeri, pentadbiran pusat dan negeri, agensi-agensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, tokoh-tokoh masyarakat serta seluruh rakyat dan warganegara tanah air tercinta ini untuk memelihara serta mengukuhkan lagi kedudukan agenda Islam di dalam negara menjadi satu jaminan dan imunisasi awal ke arah melihat kedudukan Islam akan terus terpelihara buat generasi akan datang.

Rujukan :
Demokrasi liberal: Strategi penjajahan baru Barat di dunia Islam (Siri 2),http://www.ismaweb.net/v4/2012/06/demokrasi-liberal-strategi-penjajahan-baru-barat-di-dunia-islam-siri-2/
Khalif Muammar, Atas Nama Kebenaran, Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal, Edisi Kedua.(2009). Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia:Bangi.


Oleh: Muslim Bin Abdullah Zaik

Perkara ini juga pernah dibincangkan oleh akhbar PAS, Harakah. Semoga semua umat Islam sekata menghalang perkembangan tidak sihat ini dari menghancurkan dunia Islam. PAS tahu PKR menjadi penaja pergerakan berkaitan Islam Liberal dan Liberalisma, namun terpaksa memendam rasa demi kepentingan politik dan mengelak kontroversi.

Masih belum jelas apa pandangan rasmi pemimpin PAS mengenai isu ini. Belum ada sanggahan hebat dari mereka terhadap penglibatan PKR secara langsung dalam menjayakan program LGBT, Pluralisma dan Islam Liberalini. Semoga pemimpin akan lebih terbuka dalam usaha menghalang berleluasanya pengaruh Islam Liberal di Malaysia.

Kita harus sedar semuanya akibat kealpaan kita melihat perkara ini dengan serius. Sebahagian besar dari umat Islam Malaysia berada dalam bahaya. Bermula dari terpengaruh dengan Wahhabi dan kini mula menyeberangi sempadan menyokong Islam Liberal pula.

Kerajaan perlu lebih bersungguh-sungguh menjaga agama Islam dari dicemari oleh anak buah Zionis ini. Apa yang kita harapkan mereka yang terlibat menjahanamkan agama mulia ini disiasat dan dihukum. Oleh itu sangat penting bagi kita semua menyeru agar UMNO, PAS dan JATI bersatu dalam menangani ancaman mereka. Keikhlasan mereka akan dinilai oleh Allah swt.

:



Golongan Islam Liberal ini tidak menzahirkan diri mereka sebagai orang yang menolak agama, tetapi berselindung di sebalik gagasan mengkaji semula agama, mentafsir semula al-Quran, menilai semula syariat dan hukum-hukum fekah. Segala tafsiran yang dianggap lama dan kolot mengenai agama termasuk hal yang telah menjadi ijmak ulamak, termasuk tafsiran daripada Rasulullah s.a.w. dan sahabat serta ulamak mujtahid ditolak oleh mereka.

Pengaruh liberalisme yang telah terjadi dalam agama Yahudi dan Kristian mulai diikuti oleh sekumpulan sarjana dan pemikir muslim termasuklah dengan menubuhkan forum diskusi dan institusi seperti Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia dan Sister in Islam (SIS) di Malaysia.

Gerakan Islam Liberal ini sebenarnya adalah lanjutan daripada gerakan modernisme Islam yang muncul pada awal abad ke-19 di dunia Islam sebagai suatu konsekuensi interaksi dunia Islam dengan tamadun barat. Modernisme Islam tersebut dipengaruhi oleh cara berfikir barat yang berasaskan kepada rasionalisme, humanisme, sekularisme dan liberalisme.

Rancangan musuh-musuh Allah dan muslim, iaitu Zionis dan Amerika adalah untuk memecahbelahkan umat Islam dengan memberi sokongan kepada golongan Islam yang radikal dan pada belahan dunia Islam yang lain mereka menaja kelompok Islam liberal, disamping menghidupkan semula tarekat-tarekat sufi yang menyimpang, MAKA gambaran majoriti umat Islam sebenar yang mengikuti manhaj ahli sunnah wal jamaah dan menjadi umat pertengahan tidak dapat dilihat dengan jelas.

Menurut penganut dan aktivis kumpulan Islam liberal ini, agama hendaklah disesuaikan kepada realiti semasa, sekalipun terpaksa menafikan hukum-hakam dan peraturan agama yang telah sabit dengan nas-nas syarak secara qat’ie. Jika terdapat hukum yang tidak menepati zaman, kemodenan, hak-hak manusia, dan tamadun global, maka hukum itu hendaklah ditakwilkan atau sebolehnya digugurkan.

Sebenarnya, program Islam liberal ini dilancarkan oleh barat untuk memperkuatkan liberalisme politik di negara-negara umat Islam setelah gagalnya sekularisme di Timur Tengah (dunia Islam). Bagi mereka, tanpa liberalisme Islam yang kuat, maka liberalisme politik di Timur Tengah dan negara umat Islam yang lain tidak akan berhasil. Kerana itu, mereka menaja kumpulan-kumpulan dan individu-individu tertentu di negara-negara umat Islam untuk mempromosikan fahaman Islam liberal ini.

0 comments:

Post a Comment

Copyright @ 2013 INSANI.