Friday, September 21, 2012

Filled Under:

Ke manakah Halatuju Melayu ?




Bagaimana dengan Melayu?

Kita sedar bahawa apabila kerajaan mensasarkan tahun 2020 sebagai tarikh untuk melihat tegaknya sebuah Malaysia yang maju, soal kepentingan Melayu turut diambil kira. Kerajaan memang telah mensasarkan di mana dan bagaimana kedudukan Melayu pada waktu itu.
Bagaimanapun kerajaan sendiri mungkin tidak sedar bahawa banyak orang Melayu yang masih tidak tahu ke mana sebenarnya mereka hendak dibawa. Sebahagian yang lain pula tidak tahu di mana sasaran sebenar wawasan tersebut dan bagaimana hendak mencapainya. Keadaannya sama seperti ketika DEB dilancarkan. Sebahagian Melayu tidak tahu apa-apa. Sebahagian yang lain tahu dasar itu digerakkan untuk mereka dengan sasaran menguasai 30 peratus kekayaan negara. Tetapi mereka tidak cukup tahu bagaimana caranya untuk bergerak menuju ke sasaran tersebut. Mereka diberi bekal, tetapi kurang dibimbing dan ditunjukkan jalan. Hasilnya, DEB gagal mencapai matlamat sebenar.
Perkara yang sama mungkin berulang. Tanggapan bahawa Melayu telah cukup kuat, hebat dan pintar sehingga mereka boleh dibiarkan bersendirian menghadapi cabaran-cabaran ke arah mencapai matlamat wawasan itu, boleh meranapkan impian sebenar. Kenyataannya, Melayu belum memiliki ketiga-tiga ciri itu. Kekuatan peribadi Melayu masih boleh dipersoalkan, kekuatan ekonomi mereka pula masih bersifat penguasaan beberapa kelompok bukannya bersifat menyeluruh; kehebatan Melayu masih terikat pada keberanian melawan sesama sendiri bukannya keberanian menghadapi musuh luar; kehebatan Melayu masih berlegar pada kecekapan meniru bukan pada kelicikan melindungi nilai-nilai sendiri.
Mengharapkan Melayu mencari sendiri kekuatan, kehebatan dan kepintaran itu bukanlah langkah wajar. Majoriti Melayu tidak akan berupaya melakukannya. Mereka terlalu sibuk bercakaran sesama sendiri. Mereka lebih seronok mencari siapa kawan malaikat dan siapa pula kawan syaitan. Mereka sibuk dengan idealisme masing-masing sehingga akhirnya menjadi tidak ideal lagi.
Melayu adalah urat dan nadi negara ini. Kesempurnaan kemajuan negara harus bererti kesempurnaan kemajuan Melayu. Tidak ada ertinya jika Malaysia maju, tetapi Melayu terus mundur. Tidak ada maknanya jika yang berjaya cuma kumpulan-kumpulan kecil Melayu sedangkan kelompok majoriti kian jauh tercicir. Lebih tidak bermakna lagi jika di sebalik kemajuan itu, Melayu terus teraba-raba mencari dirinya.
Belum terlambat bagi mana-mana pihak pun untuk mengambil pendekatan-pendekatan serius bagi membimbing Melayu ke arah menjadi bangsa yang sempurna menjelang tahun 2020 nanti. Tetapi ia akan menjadi sangat terlambat jika kita menanti sehingga kedatangan tarikh itu sebelum berbuat apa-apa.
Kita tidak mahu apabila tiba tarikh itu Melayu terngadah sekali lagi. Ketika itu bukan lagi waktu yang sesuai untuk bercakap tentang mencari ketuanan, mempertahankan kedaulatan raja dan membina ikatan sesama ummah. Waktu itu kita tidak harus lagi gusar, atau digusarkan, dengan kisah keruntuhan institusi kekeluargaan Melayu, dengan cerita Melayu tanpa bapa yang lebih banyak daripada Melayu tanpa rumah atau Melayu pembakar sekolah yang sama ramai dengan Melayu penagih dadah. Pada masa yang sama juga, kita tidak patut lagi dibelenggu masalah Tanah Simpanan Melayu, pencapaian ekonomi Melayu yang lemah, kerakusan pentadbir Melayu, kegelojohan usahawan Melayu atau kebobrokan kepemimpinan Melayu. Bangsa yang maju tidak harus dibelenggu oleh masalah begitu. Ya, masalah-masalah tersebut, mesti diselesaikan pada peringkat yang paling asas dan penyelesaian itu mesti dibuat SEKARANG!
Tanggungjawab memimpin Melayu ke arah itu memang amat berat. Agenda menyelamatkan Melayu ini tidak boleh, dijadikan agenda sisipan sahaja. Ia perlu digerakkan seiring dengan agenda sebenar. Komitmen untuk memastikan Melayu tidak tenggelam haruslah sama dengan komitmen untuk memastikan wawasan besar itu tidak gagal. Dalam konteks ringgit ia mungkin memerlukan peruntukan yang sama banyak dengan semua perbelanjaan untuk mentranformasikan Malaysia sebagai sebuah negara pertanian menjadi negara perindustrian. Tetapi jika kita boleh meminjam untuk merealisasikan cita-cita, apa salahnya kita meminjam untuk menyelamatkan bangsa?
Dalam satu konteks, keperluan Melayu terhadap subsidi material memang telah berkurangan. Tetapi Melayu masih memerlukan subsidi moral. Sikap menganggap Melayu tidak boleh dimanjakan perlu dikikis. Tidak ada dosanya memanjakan bangsa sendiri kerana ia adalah lebih baik daripada memanjakan orang lain. Lagipun, bermanja itu adalah percikan daripada budaya kasih sayang yang diperkenalkan pada Melayu oleh agama suci Islam.
Usaha membimbing Melayu ke arah kegemilangan itu juga harus mengambilkira cabaran-cabaran baru yang akan ditemui di pertengahan jalan. Globalisasi misalnya, bukanlah istilah yang popular tatkala Wawasan 2020 dilancarkan dahulu. Ketika itu ia belum menjadi fenomena. Disebabkan itu, ketika wawasan besar tersebut dirangka, kerajaan tidak begitu memberatkan langkah-langkah mengatasi ancaman globalisasi, khususnya ke atas umat Melayu. Tumpuan lebih diberikan pada soal-soal kelemahan sosial yang bersifat konvensyenal.
Dalam tempoh 19 tahun akan datang kita tidak tahu ancaman bentuk mana pula yang akan muncul. Sementara kita tidak tahu apakah usaha untuk membasmi kemiskinan akan terus kekal sebagai utopia, kita juga tidak tahu apakah nanti akan ada dadah menjadi makanan ruji? Kita tidak tahu apakah akan berdepan dengan era kemunculan mutan-mutan (manusia buatan) yang menagih nyawa? Kita tidak tahu apakah ketika itu nyawa boleh didagangkan sebagaimana orang menjual sperma dan buah pinggang?
Pendeknya, kita tidak tahu kejutan apa yang sedang menanti Melayu. Tetapi sebagai bangsa yang mudah terkejut dan senang hanyut dalam kejutan itu, Melayu patut dipersiapkan daripada sekarang. Mereka perlu dibangunkan daripada tidur dan dipersiapkan untuk menghadapi realiti.
Kita perlu mengaku bahawa persiapan yang ada setakat sekarang masih jauh daripada mencukupi. Contoh kecil yang boleh diambil ialah, dalam menghadapi zaman ledakan teknologi maklumat ini nisbah di antara keinginan negara dan kemampuan Melayu begitu terpisah jauh. Sementara kerajaan membelanjakan ribuan juta ringgit bagi mengejar impian untuk menjadikan Malaysia sebuah kuasa dalam teknologi IT, masih terlalu banyak orang Melayu yang tidak mengenal tetikus dan papan kekunci komputer. Masih terlalu ramai Melayu yang terpaksa berfikir seribu kali untuk membeli sebuah komputer kerana ianya bermakna mengorbankan wang belanja dapur selama setahun. Di kawasan-kawasan tertentu pula, masih banyak kampung-kampung tradisional Melayu yang tidak mempunyai bekalan eletrik sehingga menyebabkan sebarang keinginan untuk membeli komputer hanya akan menjadi mimpi yang palsu!
Aspek-aspek beginilah yang tidak harus diabaikan. Ia tidak patut dibiarkan tenggelam dalam agenda-agenda besar dan retorik-retorik yang indah.
Pemimpin boleh mencipta matlamat. Pemimpin boleh memandu Melayu ke arah matlamat itu. Malah pemimpin boleh memacu Melayu sekiranya perlu. Tetapi pemimpin juga perlu memastikan Melayu yang disuruh berlari itu bukan sahaja berkasut, tetapi juga telah bersarapan pagi.
Sebab itulah bagi memimpin Melayu dalam perjuangan mengejar matlamat baru dan mengekalkan kehormatan yang sedia ada, kita memerlukan kumpulan pemimpin yang tinggi dinamismenya. Generasi pelapis yang bakal mengambilalih kepemimpinan yang ada perlu mempunyai sekurang-kurangnya 110 peratus kekuatan berbanding dengan generasi pemimpin yang ada sekarang. Hanya orang Melayu yang tahu apakah di kalangan pelapis mereka wujud jenis pemimpin seumpama itu?
Ada atau tidak, kita perlu melahirkannya. Tidak ada sesiapa pun yang boleh diharapkan untuk menentukan bangsa kita terus timbul selain daripada seseorang atau beberapa orang di kalangan kita sendiri.
Sesiapa pun yang memimpin, dan daripada parti apa pun ia datang, tanggungjawabnya terhadap Melayu tidak boleh berkurang. Dia, sang pemimpin itu, awal-awal lagi harus mempunyai kesedaran bahawa Melayu harus ditunjuk. Melayu harus dipimpin. Melayu harus dikembalikan pada jati dirinya. Mereka patut ‘diperkenalkan’ semula pada bangsa sendiri. Mereka patut diajar mengenali kelebihan-kelebihan mereka. Mereka perlu diasuh supaya menyayangi kelebihan-kelebihan itu.
Di peringkat awal persekolahan lagi, anak-anak Melayu perlu diberi ruang untuk mempelajari susur galur bangsanya. Mereka juga perlu diasuh supaya berpadu. Usaha itu tidak mencukupi dengan hanya menyanyikan lagu-lagu patriotik yang menganjurkan penyatuan dan perpaduan. Mereka perlu dibawa jauh daripada itu. Perlu diajar mengenal hero-hero mereka, bukannya memuja hero orang.
Dan yang diangkat sebagai hero bukan sahaja mereka yang berani mati, tetapi anak-anak Melayu yang berani hidup, yang berjaya dan yang cemerlang. Namun dalam memperkenalkan semula hero-hero itu, langkah yang bersifat pemujaan kepada individu harus dipinggirkan. Penekanan perlu diberi pada sumbangan dan perjuangan secara keseluruhan, bukan pada kekeramatan peribadi. Ini perlu bagi mengelak ketaksuban dan bagi membendung kemunculan manusia yang mahu menjadi ‘super-hero’, yang berkemungkinan akan menggunakan jalan jalan pintas untuk mencapai cita-citanya.
Pemupukan nilai kasih sayang perlu bermula di peringkat awal juga. Ia tidak seharusnya terbatas pada keluarga atau pada kucing Parsi sahaja. Skopnya harus diluaskan. Nilai kecintaan kepada kawan, pada manusia, pada bangsa,pada masyarakat dan pada agama mesti didahulukan. Penerapan nilai itu ke jiwa anak-anak harus dilakukan lebih dahulu daripada penerapan elemen mencintai kemajuan. Ini penting bagi memastikan mereka mampu membina peribadi yang seimbang sebelum mula diganggu oleh impian-impian besar.
Semua langkah ini tidak harus ditafsirkan sebagai sesuatu yang bersifat mengundur. Kembali pada diri dan pada persekitaran yang dekat bukanlah halangan untuk maju. Ia hanya satu pengunduran berhelah untuk meletakkan Melayu kembali di atas landas dan paksinya yang sebenar.
Tidak ada ruginya berbuat begitu. Sama juga dengan tidak ada untungnya menggilai kemajuan sehingga menggadai nilai nilai yang sedia ada. Kemajuan seharusnya menjadi alat untuk hidup selesa bukannya untuk menambah bilangan pesakit jiwa. Kerana itu kegilaan terhadapnya perlu seimbang dengan kegilaan untuk memperbaiki diri.
Inilah kewajipan sebenar pemimpin Melayu. Sebelum mendabik dada mengaku diri sebagai pejuang bangsa, mereka perlu sedar bahawa kejayaan mereka tidak diukur dengan kemampuan melambakkan emas di hadapan orang Melayu, sebaliknya akan dinilai dengan kesungguhan dan kemampuan mereka merawat Melayu daripada penyakit-penyakitnya.
Sesungguhnya, kejayaan tidak akan memberi apa-apa makna pada orang yang sedang sakit. Sebaliknya ia hanya akan menyebabkan mereka menjadi bertambah sakit.
Usaha merawat penyakit-penyakit Melayu tidak akan menjadi sukar jika ilmu diletakkan pada asas yang betul. Dan asas itu tidak akan menjadi betul selagi ilmu dicampur adukkan dengan politik. Tindakan memencilkan tokoh-tokoh Melayu tertentu daripada menjadi bacaan di sekolah misalnya, semata-mata kerana perbezaan fahaman politik, bukanlah amalan yang menguntungkan. Sama juga seperti tindakan memencilkan institusi-institusi ilmu yang mendukung fahaman politik yang berbeza.Ia hanya memberi gambaran tentang kurangnya nilai rasional kita, yang akhirnya akan menyumbang pada pembentukan generasi yang tidak rasional juga.
Perspektif orang Melayu terhadap politik perlu diperbetulkan. Mereka perlu diasuh semula. Mereka harus disedarkan bahawa politik seharusnya dijadikan senjata untuk menghadapi orang lain, bukannya dijadikan racun untuk saling bunuh-membunuh sesama sendiri.
Pemimpin atau bakal pemimpin itu perlu menginsafi, dan menganjurkan keinsafan yang sama kepada semua Melayu akan hakikat bahawa Islam menganjurkan usaha mencari titik temu bukannya mencari titik perbezaan. Amalan-amalan serang—menyerang sesama sendiri perlu dihentikan. Perdebatan untuk mencari siapa yang betul perlu ditamatkan. Ia tidak akan menguntungkan sesiapa, sebaliknya merugikan semua.
Kita tidak boleh berkata Islam dan Melayu saling bertaut. Islam tidak memerlukan Melayu untuk hidup, tetapi Melayu amat memerlukan Islam. Keperluan itu sudah tentu bukan setakat untuk dijadikan hiasan dan tempelan. Ia adalah keperluan lahiriah dan batiniah.
Melayu memilih Islam dan kekal di dalam Islam kerana yakin agama Allah itu boleh membawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Keyakinan itu tidak pernah susut, tetapi perilaku mereka jelas mencemarkan keyakinan tersebut.
Amalan itu perlu dihentikan. Selepas mereka ‘diperkenalkan’ kepada diri sendiri, Melayu sepatutnya ‘diperkenalkan’ semula kepada agamanya. Mereka harus disedarkan bahawa Islam telah membekalkan mereka dengan kelengkapan yang cukup untuk menangkis apa sahaja ancaman, tidak kira sama ada ianya sebahagian daripada pascamodenisme atau pun tidak.
Penawar paling mujarab yang disediakan oleh Islam ialah kitab suci Al-Quran. Di Malaysia, orang Melayu beruntung besar kerana penawar itu tidak berpeluang digunakan oleh yang bukan beragama Islam. Majoriti bukan-Melayu di Malaysia termasuk kategori ini.
Bagaimanapun, agak malang kerana di kalangan orang Melayu yang beragama Islam sendiri, penawar itu tidak pernah dimanfaatkan sepenuhnya. Al-Quran tidak dihayati dan didalami dalam erti kata sebenar.
Kelazimannya, semenjak dari kecil, anak-anak Melayu yang beragama Islam diajar membaca Al-Quran. Tetapi kelazimannya juga mereka tidak diasuh memahami dan mendalami apa yang dibaca. Mereka terus-menerus berpegang pada kaedah Baghdadi, yang menganjurkan hafalan demi hafalan. Hasilnya, sering berlaku mereka boleh membaca sekalipun tidak mengenal huruf dan maknanya.
Ini juga perlu diperbetulkan.
Pembelajaran Al-Quran tidak patut lagi dianggap tugas sampingan yang tanggungjawabnya terpikul pada guru agama semata-mata. Ia patut dianggap tugas wajib. Ia perlu mampu dilakukan oleh semua orang.
Langkah untuk menjadikan pengajian Al-Quran sebagai salah satu subjek wajib di peringkat awal persekolahan harus diambil. Anak-anak kecil yang masih suci itu mesti diberi suntikan nilai yang bersifat suci juga, sebelum mereka dicemari oleh pengaruh-pengaruh lain yang bersifat batil.
Dalam melaksanakan tugas ini, kaedah pendidikan dan pengajaran yang betul harus dijadikan keutamaan. Bukan lagi satu rahsia bahawa selama ini kebanyakan kanak-kanak, yang beragama Islam, mempelajari Al-Quran lebih kerana tuntutan keluarga, bukannya kerana minat yang datang daripada dalam diri mereka sendiri.
Faktor utama yang menyumbang kepada berlakunya keadaan seperti ini ialah, kanak-kanak itu tidak memahami sepenuhnya apa yang dipelajari. Sikap kita yang tidak menitik beratkan pembelajaran bahasa Arab menjadikan kebanyakan kita menjadi seperti burung kakak tua, yang hanya tahu menyebut apa yang diajar, tetapi tidak memahami apa yang disebut.
Tanpa kefahaman sudah pasti tidak akan timbul minat. Dan tanpa kebolehan menguasai bahasa Arab, kefahaman terhadap Al-Quran hanya akan menjadi satu lagi impian.
Langkah untuk membetulkan semua kelemahan ini perlu diambil segera. Usaha-usaha bagi menggalakkan pembelajaran dan penggunaan bahasa Arab, bahasa yang telah diangkat oleh Allah Taala untuk menjadi bahasa Al-Quran, harus segera dipertingkatkan. Jika kita boleh menghabiskan wang, masa dan tenaga yang banyak untuk ‘membantu’ mendaulatkan bahasa Inggeris, kenapa tidak boleh melakukan perkara yang sama bagi mengangkat martabat bahasa kitab suci kita sendiri? Kalau kita berasa kecewa dengan kelemahan anak bangsa kita menguasai bahasa Inggeris, kenapa kita tidak berasa malu apabila anak bangsa kita bersikap bena tak bena terhadap bahasa yang menjadi teras kesucian agamanya? Kalau kita takut bangsa kita tercicir sebab gagal berkomunikasi dengan baik dalam bahasa antarabangsa, mengapa kita tidak gementar melihat mereka tidak dapat menguasai bahasa yang menjadi penghubung antara kita dengan alam yang satu lagi?
Kita sedar bahawa, ada ketikanya, wujud prejudis yang luar biasa di sesetengah kalangan terhadap apa sahaja yang menyangkuti urusan keagamaan. Salah sangka ini tidak hanya berlaku di kalangan bukan Islam, tetapi juga membabitkan orang Islam sendiri. Mereka, dalam keadaan tertentu, cenderung untuk menganggap bahawa Islam tidak banyak menyumbang ke arah kecemerlangan kehidupan.
Salah faham seperti ini boleh diminimumkan jika mereka yang tersilap anggap itu, berkesempatan memahami ilmu Al-Quran. Di dalam kitab suci itu, mereka akan menemui jawapan bagi apa sahaja tanda tanya mereka selama ini. Mereka pasti akan sedar bahawa usaha yang bersungguh-sungguh untuk mendidik orang Melayu, dan umat Islam, di negara ini mendalami inti pati Al-Quran tidak akan mendatangkan apa-apa kerugian kepada sesiapa, sebaliknya ia akan menyelamatkan kita daripada terus tenggelam dalam keraguan dan kekeliruan.
Pelbagai peristiwa yang telah berlaku ke atas kehidupan umat Melayu, dan Islam, di Malaysia semenjak kebelakangan ini sudah cukup untuk dijadikan isyarat bahawa kita tidak boleh berlengah-lengah lagi. Kedudukan Al-Quran sebagai sumber ilmu dan penyuluh kehidupan tidak harus diperlekehkan. Martabatnya harus diangkat dan dimuliakan. Dalam melaksanakan matlamat itu, sebarang kekhuatiran politik dan polemik kosong mengenainya perlu diketepikan. Islam harus diletakkan di atas segala kepentingan lain. Tidak timbul Islam UMNO, Islam PAS, Islam KEADILAN atau Islam apa pun. Islam sebenar berada di atas semuanya. Ia tidak boleh diletakkan seiring atau di bawah keperluan-keperluan politik, kerana selagi kita berbuat begitu bermakna kita telah mencemari kesuciannya.
Ahli-ahli agama memikul tugas penting bagi membetulkan keadaan ini. Mereka perlu menjadi benteng yang berperanan melindungi kesucian Islam daripada dicabuli oleh sebarang isme politik yang merugikan. Mereka wajib berusaha mencari titik temu yang boleh meletakkan semua umat Islam di Malaysia di sebuah meja bulat. Pertentangan-pertentangan pendapat harus diperbetulkan dengan cara yang penuh hikmah. Persaingan untuk membuktikan Islam mana yang lebih baik dan lebih betul perlu dihentikan. Perlumbaan untuk mencari kesalahan sesama sendiri mesti ditamatkan. Kita tidak perlukan itu semua. Yang kita perlu ialah pembentukan sebuah ukhwah yang kuat. Yang kita mahu ialah kewujudan sikap saling membetulkan bukan saling menyalahkan.
Beberapa tahun sebelum merdeka, kesemua Melayu-Islam di Malaysia pernah bergerak sebagai sebuah pasukan. Sebelum Perang Dunia Kedua pula, golongan nasionalis dan agama sama-sama memainkan peranan untuk menggabungkan Melayu. Ketika itu titik yang mempertemukan mereka ialah keinginan untuk membebaskan diri daripada penjajahan.
Titik temu yang sama sebenarnya masih boleh digunakan. Cerita tentang penjajahan bentuk baru bukanlah dongeng ciptaan untuk menakutkan sesiapa. Proses kolonialisme itu memang sedang berlaku dengan pesatnya. Usaha-usaha ke arah pembentukan sebuah empayar baru yang sangat besar sedang berjalan.
Menanamkan kesedaran di kalangan umat Islam tentang wujudnya ancaman penjajahan ini adalah tugas wajib setiap ulama. Dalam konteks Malaysia, langkah itu bermakna turut melindungi Melayu.
Bagi membangkitkan kesedaran itu, ahli-ahli agama tidak perlu menjadi harimau yang menghamun orang lain atas nama kebenaran. Mereka juga tidak perlu menjadi tekukur yang hanya mengiakan cakap orang demi kerana mahu menjaga kedudukan. Mereka perlu bijak untuk menempatkan diri di antara kedua-duanya. Mereka perlu bijak untuk mencipta persepakatan bukannya pintar memecah-belahkan. Mereka mesti berani kerana benar.
Dalam menginsafi hakikat bahawa kerja ini memang payah, kita juga harus mempunyai keyakinan bahawa ianya mampu dilaksanakan. Allah tidak akan mensia-siakan usaha yang baik. Tetapi usaha yang baik sudah pasti akan terjejas keberkesanannya jika dilakukan secara berasingan untuk kepentingan individu dan kumpulan.
Selain daripada pemimpin dan ahli agama, kumpulan elit Melayu mempunyai tanggungjawab moral yang sangat besar bagi melaksanakan misi menyelamatkan bangsa ini. Mereka mempunyai keupayaan, fizikal dan mental, untuk memandu anak bangsa mereka ke hadapan. Mereka harus ingat bahawa mereka tidak mungkin berada pada kedudukan sekarang kalau bukan kerana mereka Melayu, dan jika bukan kerana berpeluang menggunakan Hak Keistimewaan Melayu. Ertinya, banyak atau sedikit, mereka terhutang pada setiap Melayu. Hutang itulah yang perlu dilunaskan.
Umumnya, Melayu marhain tidak mengharapkan sedekah material daripada kumpulan Melayu elit Itu. Meminta-minta bukan perangai Melayu. Nenek moyang Melayu berupaya meneroka dan memugar belantara tanpa perlu bergantung pada subsidi daripada sesiapa. Yang mereka perlukan cuma peluang dan kesempatan.
Terlalu banyak yang boleh disumbangkan oleh golongan Melayu elit ini. Ilmu dan pengalaman mereka sahaja sudah menjadi aset yang amat berharga, dan akan berkali ganda menjadi lebih berharga, jika bersedia dikongsi dengan anak bangsa sendiri. Inilah yang sering dilakukan oleh golongan elit bukan-Melayu. Mereka mencari kejayaan dan kekayaan, kemudian mengagihkannya dalam pelbagai bentuk, nyata dan tidak nyata, kepada kaum mereka. Sebaliknya, inilah pula yang jarang dilakukan oleh elit Melayu. Mereka bagaikan takut hendak berkongsi dengan bangsa sendiri. Mereka seakan bimbang perkongsian itu akan menyebabkan Melayu lain menjadi lebih besar dan lebih hebat daripada mereka. Sebaliknya, mereka tidak bersikap begitu apabila berkongsi dengan orang lain. Mereka tidak bimbang terhadap kemungkinan orang lain yang menjadi rakan kongsi mereka itu lebih berjaya. Entah siapa yang mengajar mereka sehingga percaya bahawa merelakan kejayaan orang lain itu lebih mulia daripada mendoakan kejayaan bangsa sendiri.
Elit Melayu jenis ini adalah elit yang sakit. Keadaan mereka tidak banyak bezanya dengan bohsia dan bohjan di kaki lima. Mereka tidak menyumbang apa-apa kepada bangsa selain daripada contoh buruk yang berterusan.
Tanpa perlu menamakan mana-mana pihak, kita berharap benar supaya setiap organisasi yang dianggotai oleh kumpulan elit Melayu bergerak seiring dan bersepadu untuk menangani isu besar ini. Mereka tidak perlu memulakannya daripada bawah, tetapi boleh melakukannya dari atas. Sebagai idola bangsa, pada setiap masa mereka sentiasa menjadi contoh dan teladan. Tiap yang mereka lakukan akan menjadi perhatian. Jadi adalah menjadi kewajipan mereka untuk saling mengingatkan sesama sendiri supaya hanya melakukan yang terbaik dan yang baik-baik, bukannya mempamerkan keserekahan dan haloba yang berterusan. Mereka sesama mereka perlu mengikis hasad dan iri hati.
Sumbangan yang berbentuk moral begitu adalah lebih besar manfaatnya daripada sumbangan berunsur material. Memang benar, setiap yang bersifat material itu penting. Tetapi sumbangan material itu tidak akan memberi sebarang erti jika sekadar dijadikan perisai untuk melindungi keruntuhan moral si penyumbang, atau lebih buruk lagi jika dijadikan umpan untuk memancing projek menjual bangsa.
Komitmen pemimpin yang baik, peranan alim ulama yang bertanggungjawab dan sumbangan elit Melayu yang menginsafi nasib bangsanya masih berpotensi untuk menjadi kerja yang sia-sia jika semua manusia Melayu di peringkat akar umbi tidak memberi reaksi balas yang betul.Ini bermakna tanggungjawab kita, Melayu yang bukan pemimpin, bukan ahli agama dan bukan elit, juga sama besarnya dengan kewajipan mereka. Sebagaimana telah ditegaskan berkali-kali, kitalah penentu hala tuju dan masa depan kita. Kitalah yang akan menentukan sama ada Melayu akan terus tegak bersama ketuanannya atau akan perlahan-lahan hilang daripada senarai bangsa-bangsa utama di dunia.
Kita perlu bangkit. Perlu bergerak. Lontarkan jauh-jauh tabiat lama. Keluarkan diri daripada cengkaman kemalasan, dengki khianat, iri dan kesumat. Tinggalkan tabiat suka berhutang dan malas membayar hutang. Lupakan kebiasaan berfoya-foya, mengada-ngada dan meminta-minta. Berusahalah dengan sungguh-sungguh tanpa mengharap payung dan pelindung. Tidak mengapa kalau sedikit tamak, tetapi janganlah sampai menjadi haloba. Jadikan yang sebangsa itu kawan bukannya lawan. MULAKAN DARI SEKARANG!

0 comments:

Post a Comment

Copyright @ 2013 INSANI.