Wednesday, May 14, 2014

Filled Under:
, , ,

Berhati-hati Semasa Memaku Kehidupan

20121205-220711.jpg

“Penting sangatkah psikologi dalam mendidik anak-anak?” tanya seorang bapa.
Antara soalan yang sering saya terima di hujung mana-mana sesi ceramah keibubapaan.

Herdik.

Tali pinggang.

Rotan.

Hanger baju!

Sekeh dan lempang.

Malah secara lisannya tengking, sindir dan perli.

Semua itu biasa.
Sangat biasa.

Sebahagian daripada budaya masyarakat kita. Dan lanjutan daripada kebiasaan itu, kita berhujahkan diri sendiri, bahawa kita ok. Maka apa yang kita terima dahulu adalah ok. Lalu menggunakan kaedah yang sama dalam keibubapaan kita kepada anak-anak sendiri juga, adalah ok.

Memang sukar untuk mengatasi cara pandang yang sebegini. Kita bias dalam membuat penilaian terhadap kadar ‘ok’ diri kita sendiri.

قال عمرُ بنُ الخطَّابِ رضِي اللهُ عنه : حاسِبوا أنفسَكم قبل أن تُحاسَبوا ، وزِنوا أنفسَكم قبل أن تُوزنوا ، فإنَّه أخفُّ عليكم في الحسابِ غدًا أن تُحاسِبوا أنفسَكم اليومَ وتزيَّنوا للعَرضِ الأكبرِ ، كذا الأكبرِ { يَوْمَئِذٍ تُعْرَضُونَ لَا تَخْفَى مِنْكُمْ خَافِيَةٌ }

Umar bin al-Khattab radhiyallahu ‘anhu telah berkata: hitung-hitunglah dirimu sebelum dirimu itu dihitung. Timbang-timbangkan dirimu sebelum dirimu itu ditimbang. Maka sesungguhnya Allah akan meringankan hisab ke atas dirimu esok, jika engkau menghisab dirimu hari ini. Hiaslah dirimu untuk tujuan yang terbesar, dan demikian itu (Akhirat) adalah tujuan yang besar. 

69_18
Pada hari itu, kamu semua dihadapkan (untuk hitungan amal); tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi (kepada Allah) dari perkara-perkara kamu yang tersembunyi. [Al-Hāqqah 69: 18]
[الراوي: ثابت بن الحجاج المحدث: ابن كثير - المصدر: مسند الفاروق - الصفحة أو الرقم: 2/618
خلاصة حكم المحدث: مشهور وفيه انقطاع]

META MUHASABAH
Secara berfalsafahnya, kita seperti perlu keluar daripada diri sendiri, melihat dari luar tentang diri sendiri, mempertimbangkan buruk atau baiknya kita untuk jujur terhadap kesimpulan yang hendak dibuat terhadap cara kita dibesarkan.

Muhasabah.
Dua hala, bukan antara diri kita dengan orang lain. Tetapi diri kita dengan diri kita sendiri.
Andai kita berpuas hati dengan diri sendiri, kita mungkin sedang dibelenggu ego.
AL-KIBR, istilahnya di dalam Islam.

Anak-anak berhak untuk menjadi lebih baik daripada ibu bapa mereka, justeru alasan “mak saya dulu” atau “ayah saya dulu” bukanlah slogan ibu bapa yang adil kepada anak-anak mereka. Tugas ibu bapa adalah untuk mengacu anak-anak dengan apa yang benar. Maka, asas pertama menjadi ibu bapa dalam hal ini adalah mengenali kebenaran, agar boleh memperkenalkan kebenaran.

Kesetiaan ibu bapa kepada kebenaran, menjadikan fikirannya tentang anak-anak adalah bagaimana membantu anak-anak mencapai standard kebenaran, bukan standard ibu atau standard bapa.

Apa yang pasti, anak-anak berhak untuk menjadi insan yang lebih baik daripada ibu bapa mereka. Mereka perlu dibantu untuk bersedia menyambut hari mereka, bukan dibayangi hari-hari kita, yang esok lusa akan pergi buat selamanya.

Berhati-hatilah dalam mendidik anak, anak murid, anak buah, dan semua yang bernama kanak-kanak.
Pendidikan buat mereka adalah seperti memaku paku di keping papan. Jika tersalah, pakunya boleh dicabut, namun papan jadi berlubang.

Parut emosi, bukan mudah untuk mengatasinya.

HASRIZAL @ www.saifulislam.com
43000 BSP

0 comments:

Post a Comment

Copyright @ 2013 INSANI.