Friday, May 16, 2014

Filled Under:
, ,

Wirid murah rezeki supaya mudah melunaskan hutang

Doa yang dipetik daripada Surah Ali-Imran, ayat 26-27 yang biasa dibaca dalam wirid selepas solat, boleh dijadikan wirid harian bagi melapangkan rezeki supaya mudah melunaskan hutang yang banyak, insya Allah.

Rasulullah SAW telah mengkhabarkan kepada Saidina Muaz Bin Jabal r.a. akan kelebihan wirid tersebut. Baginda juga telah memberikan sebuah doa kepada seorang sahabat yang bernama Abu Umamah r.a. Dan doa itu mengandungi khasiat yang sama seperti wirid yang telah diajarkan kepada Muaz Bin Jabal.
Kisah yang diceritakan…
“Aku tidak melihatmu di masjid semalam,” Rasulullah SAW menegur Saidina Muaz Bin Jabal r.a. selepas selesai berjemaah Zuhur.
“Maafkan aku, wahai Rasulullah. Aku tidak berpeluang untuk menunaikan solat Jumaat semalam. Semasa dalam perjalanan ke masjid, aku telah dihalangi oleh seorang Yahudi. Aku dikurung di rumahnya dan tidak dibenarkan ke mana-mana,” jawab Saidina Muaz dengan panjang lebarnya.
“Kenapa?”
“Aku telah banyak berhutang kepadanya,” akui Sayidina Muaz terus terang. “Sehinggalah aku merayu dan berjanji akan menjelaskan hutang-hutangnya apabila beroleh wang nanti, barulah aku dilepaskan,”
Rasulullah SAW tersenyum sambil menepuk-nepuk bahu Saidina Muaz dan berkata, ” Aku ajarkan kepadamu dua potong ayat. Jika engkau mahu mengamalkannya, Allah akan meluaskan rezekimu untuk menjelaskan semua hutangmu, walaupun hutangmu sebesar gunung banyaknya.”
“Mahu..mahu, wahai Rasulullah,” jawab Saidina Muaz bersungguh-sungguh.
Rasulullah SAW pun membacakan dua ayat al-Quran dari Surah Ali Imran iaitu ayat 26-ayat 27. Sayidina Muaz mendengarnya dengan cermat dan teliti, sebelum ikut membacanya semula. Selepas itu dia terus mengamalkannya dua potong ayat yang banyak khasiatnya itu, sehingga Saidina Muaz menjadikan ayat tersebut sebagai wirid hariannya.
Inilah ayatnya:
Surah Ali Imran Ayat 26:
Maksudnya: “Katakanlah, “Ya Allah, yang merajai kerajaan, Engkau memberikan kerajaan kepada siapa yang Engkau Kehendaki, dan melucutkan kerajaan daripada siapa yang Engkau Kehendaki, dan Engkau memuliakan siapa yang Engkau Kehendaki, dan Engkau menghinakan siapa yang Engkau Kehendaki. Di tangan Engkau yang baik; sesungguhnya Engkau berkuasa atas segala sesuatu.
Surah Ali Imran Ayat 27:
Maksudnya: “Engkau menjadikan malam memasuki ke dalam siang, dan Engkau menjadikan siang memasuki ke dalam malam, dan Engkau mengeluarkan yang hidup daripada yang mati, dan Engkau mengeluarkan yang mati daripada yang hidup, dan Engkau memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau mengkehendaki tanpa perhitungan.”
Berkat daripada kata-kata Rasulullah SAW tersebut, akhirnya Saidina Muaz telah menjadi orang yang berjaya dan maju dalam bidang perkerjaannya. Dengan kejayaannya itu membolehkan ia melunaskan semua hutangnya.
Oleh itu, mari kita amalkan wirid ini, semoga kita semua dihindari daripada termasuk dalam golongan orang yang banyak hutang….wallahu a’lam.
Petikan oleh: Muhammad Widad

0 comments:

Post a Comment

Copyright @ 2013 INSANI.