Monday, November 19, 2012

Filled Under:

Definisi Jama’ah Islam.



Jama’ah adalah suatu perkataan yang umum. Jama’ah yang menjadi tajuk ini ialah jama’ah yang dikaitkan dengan agama Islam atau disebutkan sebagai jama’ah Islam, di mana ianya dipinjam daripada perkataan Arab iaitu jama’atul Islamiah atau ia disebut juga sebagaijama’atul muslimin, walaupun ianya hanya terdiri dari dua kalimah, namun ianya adalah sesuatu perbicaraan yang sangat luas. Ianya juga sering dikaitkan dengan lafaz-lafaz yang lain sepertiharakah, tanzim, hizbullahat- thaifah dan ummah.
Huzaifah RA meriwayatkan hadith, di mana Rasulullah SAW bersabda :
Hendaklah kamu beriltizam dengan jama’ah kaum Muslimin dan pimpinannya.
Pengertian Jama’ah.
Dari sudut bahasa jama’ah adalah kumpulan atau persatuan, di mana lawannya adalah perpecahan.
Dari sudut syara’ pula jama’ah adalah kumpulan atau persatuan kaum muslimin yang berada di atas kebenaran dan usaha mereka untuk menjauhkan perpecahan, pengasingan dan pemulauan sesama sendiri sama ada dalam bentuk kecil atau besar.
Sabda Rasulullah SAW :
ألا إن من قبلكم من أهل الكتاب افترقوا على ثنتين وسبعين ملة، وإن هذه الملة ستفترق على ثلاث وسبعين : ثنتان وسبعون في النار ووحدة في الجنة وهي الجماعة.
Ketahuilah bahawa orang-orang sebelum kamu daripada Ahli Kitab telah berpecah kepada tujuh puluh dua kumpulan, dan sesungguhnya kumpulan ini (ummat Islam) akan berpecah kepada tujuh puluh tiga (kumpulan), tujuh puluh dua daripadanya akan masuk neraka dan hanya satu daripadanya akan masuk syurga, iaitu al Jama’ah.[1]
Sabda Baginda : ... dan sesungguhnya kumpulan ini (ummat Islam) akan berpecah kepada tujuh puluh tiga (kumpulan) ... bukanlah merupakan satu ramalan yang menetapkan tetapi adalah satu peringatan kepada apa yang mungkin akan terjadi.
Jumlah 73 yang baginda lafazkan adalah mengisyaratkan kepada jumlah yang banyak sebagaimana kebiasaan penggunaan angka 7 atau 70 oleh masyarakat Arab untuk mengisyaratkan sesuatu yang besar jumlahnya. Ini seperti yang telah diterangkan oleh para ulamak di dalam menjelaskan hadith orang kafir ada tujuh usus”[2]Angka 2 dan 3 bagi jumlah 72 dan 73 pula mengisyaratkan bahawa umat Islam berkemungkinan akan berpecah menjadi kumpulan-kumpulan yang lebih banyak jumlahnya daripada perpecahan ahli kitab.
Justeru itulah Rasulullah SAW menyampaikan hadith di atas dalam rangka memberi amaran keras kepada ummat baginda untuk tidak berpecah-belah menjadi kumpulan atau kelompok yang saling berselisih antara satu sama lain.
Amaran Rasulullah SAW dalam hadith di atas adalah selari dengan firman Allah di dalam Al Quranul karim pada ayat yang ke 118-119 daripada surah Hud.
Firman Allah :
Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) mengkehendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus menerus berselisihan kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah); dan untuk itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu : Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahanam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa).
Dalam ayat ini Allah SWT menerangkan tabiat manusia yang suka berpecah-belah dan ini termasuklah ummat Islam sendiri. Semuanya akan memenuhi neraka kecuali mereka yang bersatu atas kebenaran, iaitu jama’ah ummat Islam.
Pengertian Islam.
Firman Allah :
Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu semua agama kamu, dan telah Aku cukupkan ke atas kamu nikmatKu dan telah Aku redha Islam sebagai agama kamu.
(Al Maa’idah : 3)
Secara jelas berdasarkan firman di atas menerangkan Allah Ta’ala telah melimpahkan suatu nikmat kepada kita semua sebagai umat manusia seluruhnya dengan Din yang sempurna yakni, al-Islam.
Apakah itu Din Islam?
Din di dalam bahasa Melayunya membawa pelbagai maksud, namun Din yang mahu dibicarakan di sini adalah bermaksud agama atau sebutan lamanya ialah ugama; yang pada asalnya diambil dari perkataan Sanskrit iaitu Igama, walau apapun ia hanyalah dari segi sebutan.
Namun Din atau agama dari segi pandangan syara’ adalah merujuk kepada wahyu yang disampaikan oleh Allah SWT kepada seseorang Rasul a.s yang dipilihNya untuk menyampaikan ajaran itu kepada seluruh manusia. Di antara kandungan ajaran Rasul a.s itu adalah menyeru manusia supaya hanya percaya kepada keesaanNya dan menghalakan segala bentuk ibadah hanya kepada Dia sahaja.
Din yang disampaikan oleh Rasul a.s adalah sama sahaja walaupun nabi dan Rasul a.s yang diutuskan adalah terlalu ramai. Hal ini jika dikaji dari sudut akidah seperti beriman kepada keesaan Allah SWT, sebagai pencipta segala makhluk, Dialah yang menghidup dan mematikan, membangkitkan manusia kembali selepas kematiannya untuk menerima balasan syurga yang penuh dengan nikmat atau pun balasan neraka yang penuh dengan azab seksaan, Dialah yang mengutuskan para Rasul a.s untuk memberi khabar gembira bagi yang taat kepada Allah SWT dan ancaman dengan balasan neraka bagi yang ingkar kepada perintahNya dan Dialah yang menurunkan semua kitab kepada para rasulNya supaya seluruh manusia mengamalkan sepertimana ajaran yang digariskan di dalam kitab-kitab berkenaan.
Apakah Islam itu?
Semua ajaran yang dibawa oleh para Rasul a.s itu dikenali dengan nama Islam. Dari segi bahasa ianya membawa pelbagai maksud. Perkataan Islam itu membawa maksud menyertai, taat dan patuh, keselamatan dan kedamaian serta kesejahteraan yang mengikuti segala ajaran yang disampaikan oleh Rasul a.s setiap masa. Orang yang menganut Islam pula di namakan sebagai Muslim.
1. Menyertai : Setiap manusia mesti menyertai agama Islam untuk memahami pengertian sebenar tentang kehambaan manusia yang dicipta kepada Allah yang Maha Mencipta yang telah menjadikan mereka.[3]
2. Taat dan patuh : Setiap Muslim wajib taat dan patuh serta menyerahkan diri hanya kepada Allah SWT yakni dalam ketaatan dan kepatuhan terhadap semua perintah dan menjauhi semua laranganNya.
3. Keselamatan : Setiap Muslim adalah orang yang menyelamatkan sama ada dirinya mahupun orang lain.
4. Kedamaian : Setiap Muslim wajib mempunyai sifat-sifat adil dan bertolak ansur sehingga kehidupan menjadi aman, damai dan penuh dengan keadilan.
5. Kesejahteraan : Setiap Muslim wajib memastikan bahawa dirinya mahupun orang lain dalam keadaan sejahtera. Dia tidak boleh hidup dengan meminggirkan hak-hak orang lain dan mengutamakan dirinya sendiri. Dia mestilah mempunyai sifat penyantun, pemaaf dan suka menolong untuk mengatasi kesusahan orang lain.
Dari segi istilah, Islam adalah ketundukan dan penyerahan diri seseorang hamba dengan sepenuhnya, secara mutlak sama ada zahir mahupun batin hanya kepada Allah SWT semata-mata dan tidak mensyirikkanNya dengan yang lain. Asas ketundukkan dan penyerahan diri itu adalah pengakuan yang tulus dari lubuk hati, bahawa seluruh kejadian adalah ciptaan Allah SWT dan Dia adalah Tuhan Yang Maha Mentadbir akan segala ciptaanNya.
Ajaran Islam yang disampaikan oleh seluruh Rasul a.s tadi berakhir dengan pengutusan Nabi Muhammad SAW, baginda menjadi Nabi dan Rasul yang terakhir. Ajarannya menjadi penutup kepada pengajaran para rasul yang silam. Oleh itu sesiapa yang mati dan bertemu dengan Allah SWT tetapi tidak mengikuti ajaran Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW segala amalannya tidak akan diterima oleh Allah SWT.
Sheikh Muhammad al Ghazali[4] pula mendefinisikan Islam secara ringkas di dalam salah satu kitab beliau[5], di mana perkataan Islam menurut maknanya dari segi bahasa dan istilah dan syara’ adalah sebagaimana maksud firman Tuhan yang termaktub di dalam Al Qur’anul Kariim.
Firman Allah :
Maka Demi Tuhanmu (Wahai Muhammad)! mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.
(An Niisaa’ : 65)
Berpandukan firman Allah di atas, boleh dikatakan juga jama’ah Islam -sama ada disebut jama’ah Islamiah atau jama’atul muslimin- adalah merupakan jama’ah Rabbaniah yakni golongan beriman yang meletakkan sumber Rabbani iaitu Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan dan rujukan utama dalam menyelesaikan sebarang isu dengan perasaan senang hati yakni ikhlas. Di mana dengan berpandukannya juga ummat Islam akan bersatu yakni sentiasa berjama’ah menuju kepada satu motif yang sama.


[1] Hassan : hadis daripada sejumlah sahabat dengan lafaz yang saling berbeza tetapi ke arah maksud yang sama, dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, al Tirmizi, Ibn Majah dan lain-lain. Hadis di atas adalah salah satu dari lafaz Abu Daud, lihat sunan Abu Daud – no 4429.
[2] Hadis yang dimaksudkan ialah hadis sahih yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar, Abu Musa dan Abu Hurairah RA, dikeluarkan oleh al Bukhari, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih al Bukahri – no 5393. (Kitab Makanan, Bab Seorang mukmin dia makan...)
[3] Lihat juga penjelasannya dari segi istilah untuk lebih memahami konsep kehambaan.
[4] Ulamak tafsir dan seorang tokoh gerakan Ikhwanul Muslimin
[5] الجانب العاطفي في الإسلام

0 comments:

Post a Comment

Copyright @ 2013 INSANI.