Thursday, September 13, 2012

Filled Under:

Berbahagialah Kamu Suami Isteri



Ikatan perkahwinan tidak menjanjikan kebahagiaan. Tapi, tidak pula mustahil untuk rasa bahagia dalam perkahwinan. 
Bahagia? Apa sebenarnya definisi bahagia bagi diri anda? Adakah wang ringgit yang banyak boleh membuatkan rumah tangga anda bahagia? Tinggal di rumah banglo dan berkereta jutaan ringgit membuatkan anda bahagia? Atau adakah dengan kasih sayang sahaja sudah cukup untuk anda dan pasangan rasa bahagia? Kalau wang ringgit membuatkan anda bahagia, bagaimana keadaannya jika ditakdirkan pasangan ataupun anda sendiri muflis atau dibuang kerja? Bagaimana pula kiranya jika si dia sudah ada niat untuk pasang dua? Adakah ini bermakna perkahwinan anda sudah tidak boleh bahagia ? Fikirkanlah semula apa kah sebenarnya pengertian kebahagiaan yang anda cari dalam sebuah ikatan perkahwinan. Dalam hal kebahagiaan ini, tepuk dada, tanyalah hati. Adakah anda perkahwinan anda sudah cukup bahagia? Kalau ya, mampu kah anda mengekalkannya? Kalau tidak apakah yang masih kurang. Inilah persoalan yang perlu dicari jawapannya.
Sebenarnya, kebahagiaan adalah suatu perasaan yang lahir dari hati yang sungguh dalam. Untuk merasai kebahagiaan ini, anda perlulah dekat dengan-Nya. Begitu jugalah dengan kebahagiaan dalam perkahwinan. Perkahwinan sememangnya menjanjikan ketenteraman dan kedamaian jiwa. Hidup sebagai suami isteri dalam sebuah rumah tangga yang aman bahagia dapat memberi ketenangan pada jiwa kerana sentiasa mendapat rahmat daripada Allah SWT Yang Maha Berkuasa.
Tapi, malangnya kebahagiaan ini semakin sukar dikecap oleh ramai pasangan suami isteri. Kini, dilihat terlalu banyak rumah tangga runtuh sedangkan usianya masih terlalu muda. Apakah yang sebenarnya telah berlaku dan bagaimanakah untuk mengatasinya?
Mungkin ramai di antara kita terlepas pandang bahawa sesungguhnya rumah tangga yang bahagia adalah hasil pimpinan yang baik daripada suami selaku ketua keluarga. Untuk memastikan keluarga sentiasa bahagia dan sejahtera, ketua keluarga perlulah suburkan ketaatan kepada Allah SWT dengan mengamalkan sikap jujur, bertanggung jawab, berwawasan, berdisiplin, bekerjasama, adil dan prihatin.
Dalam masa yang sama, tidak dinafikan faktor kewangan turut memainkan peranan yang penting untuk membahagiakan sesebuah keluarga. Lebih-lebih lagi dalam zaman yang serba moden ini, semuanya perlukan duit. Ketidakcukupan wang selalunya menjadi punca perbalahan dalam keluarga. Bagi mengukuhkan ekonomi keluarga, semua ahli di dalamnya perlu bersama-sama bekerja kuat dan bukan terletak pada bahu ketua keluarga semata-mata. Masing-masing cubalah lakukan yang terbaik untuk mengatasi masalah kewangan yang dihadapi. Setelah ketua keluarga bersusah payah mencari duit, isteri dan anak-anak pula kenalah berkorban dengan berjimat. Sesungguhnya kesulitan mendapatkan wang tidak pernah menghalalkan anda menerima rasuah ataupun makan riba. Jauh sekali mencuri ataupun menipu. Sanggup kah anda sebagai suami mengisi perut isteri dan anaknya dengan makanan yang ‘haram’?
Bagi yang ingin menikmati kebahagiaan berumahtangga yang sebenar, contohilah cara junjungan kita Nabi Muhammad SAW menguruskan rumah tangganya. Baginda tidak langsung memisahkan antara kebahagiaan dunia dengan kebahagiaan akhirat. Kebahagiaan dunia saling berhubung kait dengan kebahagiaan akhirat. Hasilnya, anda akan reda terhadap setiap cabaran dan halangan yang berlaku dalam rumah tangga kerana menyedari semua itu ujian dari-Nya untuk menjadikan kita semua lebih kuat. Keluarga yang aman damai dan bahagia adalah keluarga yang disinari cahaya kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Setiap ahli keluarga perlulah mempunyai misi hidup yang sama agar hala tujunya sama dan bersama-sama mencapainya.
Ketahuilah bahawa bahagia sebenarnya ada dalam hati manusia itu sendiri. Oleh itu, sucikanlah hati, tingkatkan iman dan jadilah insan yang bertakwa.
Ciri-ciri penting keluarga bahagia:
  • Sedar bahawa setiap ahli keluarga mempunyai tanggungjawab masing-masing yang tidak boleh diabaikan kerana ini adalah amanah Yang Maha Esa.
  • Sentiasalah memperbaharui azam untuk meningkatkan pengetahuan dalam pelbagai aspek kehidupan agar menjadi manusia yang berilmu dan berkualiti.
  • Suburkan sifat-sifat yang baik dalam diri dan tinggalkan sifat-sifat buruk.
  • Dekatkan diri dengan agama dan laksanakanlah perintah-Nya.

0 comments:

Post a Comment

Copyright @ 2013 INSANI.