Monday, February 13, 2012

Filled Under:

Lelaki Pemalu Yang Mudah Memberi Cinta

"Jangan kamu ikuti pandangan pertamamu dengan pandangan kedua dan selanjutnya. Milik kamu adalah pandangan yang pertama, tapi yang kedua bukan".
Salam ziarah..
Kemeja hitam berkolar putih menyaluti badannya . Seorang lelaki membetulkan rambut hitamnya yang kusut masai . Merapikan muka si pemalu di hadapan cermin lokar . Hajat hatinya memberi kelulusan bertemu dengan si gadis menggusarkan hatinya . Cicak atau ayam yang membuang najis kapur menjadi agenda hari ini. Segan dan malu .
Hampir-hampir memutuskan untuk membatalkan pertemuan empat mata dengan si gadis . Mungkin , sel-sel malu yang tidak pernah lupa memberi peringatan. Namun, daripada paksi selatan hatinya bertegas janji perlu diperkotakan. Disokong oleh paksi barat dengan hujahnya, hanya diskusi ilmu di kafeteria sahaja bukan beraktivis nafsu .
Paksi utara hanya termenung melongo. Entah apa difikir. Paksi timur hendak berhujah membangkang namun jelas kuasa majoriti pasti menang . Akur dengan keputusan . Sepi tidak menolak walaupun cuba juga menyuarakan . Gagal .
Lelaki yang pemalu itu keluar daripada rumahnya . Menerima niat paksi selatan dan barat. Ya, hanya untuk kebaikan sejagat. Sel-sel malu yang tersipu-sipu menyelimuti pipinya yang sedikit berisi. Pasti senyum seorang lelaki yang pemalu ini memberi lesung pipit yang comel.
Namun, lelaki pemalu ini seakan sudah mati fungsi untuk memberi senyum di saat terpandang si gadis yang duduk ibarat puteri kayangan yang bersantap di atas kerusi kafeteria bersama buku-buku tebalnya di atas meja.
Sel-sel malu mula berlumba merembes ke liang roma kulit lelaki pemalu. Peluh dingin meratai dahi dan jatuh ke pipi. Mungkin, peluh di dahi itu yang membantut senyuman comel lelaki pemalu itu .
Renungan matanya merudum sehingga tersungkur ke lantai marmar. Langkah perlahan demi langkah perlahan menuju ke kayangan. Retina matanya memutar ligat melalui ekor mata kiri dan kanan, takut berlanggar dengan manusia lain dek kerna matanya tidak fokus ke hadapan. Memberi salam dengan getaran jiwa si pemalu yang tidak dibuat-buat. Asli daripada atma lelaki itu .

Kemudian, terdengar sapaan bait-bait lemah lembut si gadis ; satu persoalan si gadis kepada lelaki itu yang memberi transformasi sel-sel malu itu bercambah pada kadar maksima. Darah seakan laju berlumba ingin keluar daripada liang roma kulit muka si pemalu. Hangat dan merah pipinya seperti mahu meletuskan sesuatu yang terpendam .
Sel-sel malu bertindak seperti ekstrimis yang tidak pernah gentar tetapi tersipu-sipu gerakannya. Paksi timur khuatir. Kasihan dengan perubahan drastik lelaki pemalu. Mungkin, sudah mati akal untuk memberi kata jawapan kepada soalan si gadis tadi .
Di saat kabut yang sedang melanda hati lelaki itu, paksi selatan dan barat kecut mendiamkan diri, tak kurang juga memberi bisikan nakal. Bisikan nakal yang sudah lari daripada niat asalnya berjumpa si gadis. Paksi utara pula , jangan ditanya sudah lama terkubur dengan mimpi indahnya selepas melongo ketika perbincangan .
Paksi timur yang kasihan juga mati akal. bimbang dengan ilmu yang sedikit. Khuatir dengan si lelaki pemalu itu bertindak luar daripada rasional fikirannya . Namun , atas dasar perasaan kasihan, paksi timur membisik naluri lelaki pemalu itu . Memberi jawapan kepada si gadis yang sudah lama bertanyakan soalan yang menggusarkan lelaki pemalu .
Lelaki yang malu itu cuba menguatkan atmanya . Kotak suaranya cuba mengumpulkan udara memberi paduan mampat gelombang yang ingin diletuskan. Bersedia memberi jawapan kepada persoalan si gadis itu . suara bercantum dengan akal, suara si pemalu itu terbang liar ke cuping si gadis .

' Aku lelaki yang mudah jatuh cinta kepada perempuan . Hasrat engkau mahukan mataku memandang matamu  bukanlah pilihan tepat untuk lelaki persis aku . jadi , aku pohon izinkan mataku sentiasa menyembah bumi selepas memberi pandangan pertama kerna aku bimbang pandangan kedua ku mampu memberi hati kepada kamu , si gadis yang bertudung cantik , '
Lelaki pemalu itu bangun. Sel-sel malu mula stabil. Merah mukanya memberi kembali warna asal. Keluar daripada istana si gadis kayangan .Kelihatan lesung pipit yang comel berjalan masuk ke atmosfera ketenangan. Senyum . ^_^
Dalam musnad Ahmad, disebutkan, Rasulullah Shallahu Alaihi Wa Sallam, bersabda :
"Pandangan adalah panah beracun dari panah-pandah Iblis. Barangsiapa yang menundukkan pandangannya dari keelokkan wanita yang cantik karena Allah, maka Allah akan mewariskan dalam hatinya manisnya iman sampai hari kiamat".

p/s : agak-agaknya kan , apa soalan ditanya oleh si gadis itu kepada lelaki yang pemalu ? >_<
- Artikel iluvislam.com

0 comments:

Post a Comment

Copyright @ 2013 INSANI.