Thursday, May 15, 2014

Bacalah: Supaya Jadi Hamba, Bukan Jadi Tuhan

library
Sekurang-kurangnya, ada dua jawapan yang boleh saya kongsikan, mengapa perintah Allah yang pertama kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wa sallam dan umat ini adalah “BACA!”

Pertama, peralihan manusia daripada Tauhid kepada Syirik, adalah akibat agama berpindah daripada satu generasi ke satu generasi, bukan lagi dengan ILMU. Kisah lima berhala kaum Nabi Nuh ‘alayhi al-salam, sudah pernah dikupas sebelum ini. Justeru, demi mengeluarkan manusia daripada kegelapan Jahiliah kepada cahaya Islam, daripada Syirik, kepada Tauhid, berilmu menjadi keutamaan, melalui perintah BACA.

“Bacalah!” tiga kali Jibril ‘alayhi al-salam memerintah baginda.

Baca tidak semestinya baca daripada apa yang ditulis. Baca juga, adalah daripada apa yang dibacakan kepada kita. Baca itu kenderaannya, ilmu itu penumpangnya. Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam yang ‘ummi’ itu diperintahkan oleh Allah untuk membaca.

Itu, perspektif pertama.

Perspektif yang ditekankan oleh Sayyid Qutb di dalam Tafsir Fi Dhilal al-Quran, betapa kita mungkin agak sambil lewa dalam memerhatikan impak perintah BACA kepada tamadun manusia.
Keduanya, beragama dengan ilmu, bererti beragama dengan berfikir.
Kita memerlukan perkataan untuk berfikir.

Shakespeare menggunakan 80 ribu perkataan di dalam karya klasiknya. Demikian juga Goethe, beliau menggunakan 50 ribu perkataan di dalam novelnya. Dan karya mereka masih difahami oleh pelajar Inggeris serta Jerman hari ini. Ertinya perbendaharaan kata mereka berada di sekitar perbendaharaan kata Shakespeare dan Goethe.
omarergi
Ini berbeza menurut Omar A Ergi di dalam karyanya , Can A Bridge Build Itself?, pelajar universiti di negaranya Turki, hanya mempunyai sekitar 3000 ke 4000 kata dalam perbendaharaan mereka. Sedikitnya perkataan bererti sedikitnya pemikiran dan ia datang daripada lemahnya sumber perkataan iaitu BACA.
Justeru, BACA menjadi perintah pertama Allah kepada hamba-Nya bernama manusia.
Allah membezakan manusia dalam penciptaannya berbanding dengan makhluk yang lain, adalah pada akal dan upaya fikir manusia. Tanpa membaca, manusia hilang upaya fikir. Tanpa upaya fikir, apa lagi yang tersisa pada kemanusiaan manusia?

BUKAN SEBARANG BACA
Sepatutnya membaca itu adalah amalan yang sangat asas.
Membaca bukan tabiat orang kaya. Mencari ilmu bukan tabiat orang kelas atasan. Beragama dengan hujah bukan tabiat golongan elit. Semua itu tabiat MUSLIM.

Apabila membaca menjadi asing, pembaca jadi ‘makhluk asing’. Lain benar kelakuannya sebelum membaca dengan selepas membaca. Sebelum membaca, dia biasa-biasa. Selepas membaca, dia jadi luar biasa.
Sebab itu perintah BACA bukan sebarang BACA.

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ

“Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang mencipta” [Al-'Alaq 96: 1]

Baca itu ibadah. Baca itu kehambaan. Maka bacalah dengan nama Dia.
Tuhan yang memerintahkan BACA itu juga tidak memperkenalkan nama-Nya. Belum lagi. Baca dulu, dengan nama Dia, Tuhan kamu yang Mencipta.

Jika kamu enggan menerima AL-HAQ secara dogmatik, secara paksa, tidak mengapa. Mungkin itu yang sebaiknya. Tetapi kamu mesti baca. Kamu perlu baca, namun dengan nama Dia. Allah namanya? Tidak mengapa, yang penting, Tuhan yang menyuruh kamu BACA itu adalah Tuhan Maha Pencipta.
Baca itu mesti dengan rasa sedar bahawa si pembaca adalah makhluk. Manakala yang memerintahkan baca adalah Khaliq.

Asas mengimani Tuhan, adalah pada kesedaran bahawa kita dan alam ini adalah ciptaan, dan yang menciptanya adalah Maha Pencipta. Andai ciptaan lain masih banyak berselubung keraguan, maka fokus pada ciptaan yang kamu tidak mampu ragu, iaitu diri kamu sendiri.

خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ

“Yang mencipta manusia daripada segumpal darah” [Al-'Alaq 96: 2]

Rene-Descartes_1214990c

Manusia memerlukan premis yang kukuh untuk yakin, menolak ragu.

Cogito ergo sum
“Think, therefore am”


Ungkapan terkenal ini dilafazkan oleh René Descartes. Makna yang mudah untuk ungkapan Latin ini ialah berfikir tentang kewujudan seseorang membuktikan di dalam diri yang berfikir serta mengenai diri yang berfikir bahawa ‘saya’ wujud untuk melakukan FIKIR itu tadi.

“Tidak mungkin kita meragui kewujudan diri, semasa kita ragu, kerana kita memerlukan diri, untuk melakukan perbuatan ragu itu” rumus Descartes.

Justeru, bacalah dengan nama Tuhanmu yang Mencipta itu, yang Mencipta manusia daripada segumpal darah. Baca dan dapatkan ilmu, untuk memahami bagaimana daripada segumpal darah, ia kemudiannya menjadi seorang pemikir, yang boleh membaca tentang biografi gumpalan darah berkenaan.
Membaca membawa manusia kepada kebenaran.

Membaca menjadikan manusia bermodal untuk berfikir tentang kebenaran.
Membaca mengangkat manusia ke martabat sempurna, mencapai potensi yang Penciptanya letakkan terhadap prospek seorang manusia.
books
Justeru manusia yang membaca, ketahuilah bahawa semakin banyak kamu membaca, semakin banyak kamu berfikir, semakin tinggi kamu berilmu, akhirnya yang kekal Paling Mulia, bukan kamu yang membaca, tetapi Tuhan kamu yang memerintahkan BACA.

اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ

“Bacalah, dan sesungguhnya Tuhan kamu adalah yang paling Mulia”  [Al-'Alaq 96: 3]

Masakan tidak.
Masakan boleh seorang pembaca jadi angkuh.
Kalau dia sedar bahawa dia boleh membaca, hakikatnya adalah kerana kebergantungan dia kepada modal-modal baca dan fikir yang diberikan oleh Tuhannya.

الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ * عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

“Dialah Tuhan yang mengajar dengan pena. Mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya”  [Al-'Alaq 96: 4-5]

Pena diungkap dengan waw al-qasam (sumpahan) di dalam surah Pena (al-Qalam), pada menggambarkan tingginya nilai pena sebagai wasilah ilmu dan baca. Pena yang menjadi titik munasabah dan interaksi antara Tuhan Pengurnia Ilmu dan manusia yang mempelajarinya.
Mempelajari sesuatu yang dia tidak tahu.

Dengan ilmu, manusia yang tidak tahu menjadi tahu.
Dan semakin dia tahu, dia sepatutnya semakin menjadi manusia.
Bukan tuhan yang lupa diri, kembali bodoh dengan keilmuan dan kesarjanaannya.
Justeru, membaca adalah ibadah.

Membaca ilmu Syariatullah, atau membaca ilmu Sunnatullah, kedua-duanya adalah ibadah. Matlamat tertinggi membaca adalah mencari kebenaran, dan setia dengan kebenaran itu.

Mengapa dalam kebangkitan budaya baca, lahir kecenderungan untuk mencarut, menyebut segala aurat di kelangkang, berbahasa dengan bahasa longkang, dengan alasan ia simbol kebebasan, kemerdekaan dan jauh daripada kepura-puraan?

Memerhatikan kebodohan ini, bukan kita tidak ingin mencarut.
Tetapi kita tidak mencarut, yang mengawal kita bukan JAKIM, bukan Kementerian Dalam Negeri, bukan Editor,  bukan juga kehendak pasaran. Mencarut dan kurang ajar dalam baca, tulis dan fikir, walaupun dalam diri membuak-buak rasa untuk mengungkapkan kepada penulis sampah yang digilai remaja semasa, tidak terkeluar bukan kerana JAKIM, KDN atau Editor.

Tetapi kita tidak mencarut kerana alasan yang sama dengan pencarut.
Kita tidak mahu hipokrit.

Bukan hipokrit pada mengawal nafsu untuk mencarut.

Tetapi kita tidak mahu hipokrit, manusia bodoh yang tidak tahu apa-apa, menyamar sebagai tuhan atas nama sebuah KEBEBASAN!

Sujudlah kepada-Nya.

Dekatilah Dia.

- See more at: http://saifulislam.com/

“Saya Sahih Sebab Rujukan Saya Sahih!”

“Saya sahih sebab rujukan saya sahih!”
“Kami membawa kebenaran untuk menentang kebatilan. Menyokong kami bererti menyokong kebenaran, menentang kami bererti menentang kebenaran!”

Ini merupakan salah satu penyakit pemikiran yang membimbangkan kita.
Terutamanya dalam trend kembali kepada Quran dan Sunnah, ramai yang ditimpa penyakit ini.
“Oleh kerana alasan idea saya adalah al-Quran, maka idea saya sahih sesahih al-Quran. Oleh kerana rujukan saya adalah hadith yang sahih, maka apa yang saya faham tentang hadith itu, juga merupakan idea yang sahih!”
Penyakit ini menimpa golongan yang menisbahkan fikiran mereka sebagai mewakili teks yang dianggap benar. Ia bukan sahaja berlaku dalam lingkungan Muslim, malah telah wujud juga penyakit yang sama di semua agama. Masalah ini bukan masalah agama, tapi masalah sikap dan pemikiran.

JACOBINS

Ketika menyelak lipatan sejarah, saya teruja melihat gelagat golongan Jacobin.
Semasa Perancis sedang bertarung dengan usaha membebaskan masyarakat dari cengkaman penguasa diraja dan gereja, 1793 memperlihatkan rusuhan besar-besaran yang akhirnya memberi ruang kepada Jacobin mengambil alih pemerintahan. Mereka menganggap bahawa merekalah golongan yang mewakili suara rakyat, memahami aspek keadilan serta baik dan buruk masyarakat.

Mereka menganggap tafsiran mereka terhadap konsep cintakan tanah air La Patrie dan kefahaman mereka terhadap kehendak Social Contract adalah yang paling tepat. Lantas mereka mesti menerima sokongan dan kepatuhan yang mutlak dari rakyat, kerana dari situlah rakyat beroleh kebaikan.

Maximilien Robespierre dan berucap di National Convention di Paris
Antara tokoh terkenal dari kumpulan Jacobin ini adalah Maximilien Robespierre (1758 – 1794). Pemerintahannya dianggap pemerintahan yang luhur, berteraskan rujukan yang sahih, lantas dinamakan sebagai Republic of Virtue.

Tindakannya yang anti perhambaan, memberikan hak sivil kepada komuniti Yahudi dan pelbagai reformasi positif, di peringkat awalnya disambut baik oleh rakyat. Tetapi tindakan yang dinisbahkan kepada memenuhi ‘kehendak iman’ telah menjadikan beliau dan pemerintahannya meng’kebal’kan diri dengan alasan mereka mewakili apa yang sahih.

… to detest bad faith and despotism, to punish tyrants and traitors, to assist the unfortunate, to respect the weak, to defend the oppressed, to do all the good one can to one’s neighbour, and to have with justice towards all men”

Robespierre telah membina ‘imej agama’ kepada masyarakat yang ditadbirnya. Lantas, menentang pemerintahannya dianggap menentang kehendak agama.

Pemerintahan berteraskan tafsiran sahih terhadap kehendak rujukan yang sahih, telah membina sikap tidak boleh dikritik, lantas mereka menghukum sesiapa sahaja yang mempertikai. Mereka membanyakkan perisik untuk memastikan tiada usaha mempertikai dan menentang dari kalangan rakyat, dan sedikit demi sedikit, Republic of Virtue berubah menjadi Reign of Terror!

DI DUNIA ISLAM
Saya bertemu dengan watak ini di dalam pusingan Sejarah. Sama ada Sejarah Islam, mahu pun sejarah yang di luar komuniti Islam. Golongan yang menganggap diri mereka mewakili teks yang sahih, terlupa bahawa teks yang sahih tidak menjadikan apa yang mereka faham tentang teks itu turut sahih dan tidak boleh menerima pertikaian.

Kerana itu, kita bertemu dengan pembiakan golongan yang mengambil teks secara literal tanpa mengambil kira peraturan-peraturan untuk teks tersebut difahami.

Misalnya, banyak hadith sahih tentang hubungan rakyat dan pemerintah diketengahkan. Teks hadith ini cuba untuk dijadikan prinsip siasah secara mudah, sedangkan kefahaman mengenai hadith-hadith itu langsung tidak mengambil kira apakah asbab al-wurud (sebab hadith itu disabdakan oleh Baginda sallallaahu alayhi wa sallam), ‘illah, maqasid, hikmah dan apa yang mahu dicapai oleh Syariat Islam melalui hadith itu.

Lantas, usaha untuk mempertahankan ketaatan rakyat kepada pemerintah diperbesarkan dengan bahasa mutlak, bahawa pemerintah tidak boleh ditegur kerana hadith sahih berkata begitu, atas nama kehendak Sunnah!
Masyarakat diajak agar mengenepikan tanggungjawab membetulkan pemerintah, apatah lagi dengan memperkatakan apa yang benar, kepada pemerintah yang zalim. Sebaliknya tumpuan diberi kepada menjauhkan diri dari menyatakan penentangan kepada penyelewengan dan kezaliman pemerintah, kerana ia dilabel sebagai tradisi Khawarij. Sedangkan taat kepada pemerintah, dan menjauhkan Kalimah al-Haq ‘inda al-Sultan al-Ja’ir, itulah Sunnah.

Fahaman ini sukar diperbetulkan kerana pemikiran pendukungnya ialah “saya sahih sebab rujukan saya sahih”!
Soal menegur pemerintah secara tidak beretika, itu soal lain. Al-Quran sendiri memberi garis panduan kepada insan setinggi Musa tentang cara yang betul menegur manusia sejahat Firaun. Teguran tentunya dengan bahasa yang tidak menjadikan penegur memberanakkan dosa. Teguran tentunya mesti berasaskan fakta yang diteliti. Semua ini kehendak Syariat Islam.

Tetapi memberikan imunisasi kepada pemerintah semata-mata dengan alasan hadith sahih tidak membenarkan pemerintah ditegur, adalah suatu yang menghairankan, bukan hanya kepada rakyat yang Islam, malah kepada pemerintah sendiri.

“Tidak sangka, rupa-rupanya kalau menurut Syariat Islam, kita ini tidak boleh ditegur!”, kata pemerintah di empat penjuru alam Muslim. Siapa yang tidak mahu ‘Islam’ versi ini?

Tindakan para Anbiya’ seawal Nuh ‘alayhi al-Salaam berdakwah terhadap golongan al-Mala’, sirah Nabi sallallaahu alayhi wa sallam yang menolak pemerintahan Jahiliah di zamannya, derita para Imam seperti Imam Malik dan Imam Ahmad kerana tidak menyetujui pendirian pemerintah di zamannya, malah kematian dan derita pejuang Islam di Mesir, Syria, Jordan, Iraq dan di merata pelusuk alam, semuanya dilupakan.
Di dalam dunia kita hari ini, menegur kuasa pemerintah bukan hanya merujuk kepada peranan yang dimainkan oleh pembangkang. Ia hanya salah satu daripada format menyatakan pendirian. Teguran dan nasihat juga disampaikan dalam format jurnalisma (seperti diskusi Edward Said di dalam bukunya Covering Islam), seni suara, seni lukis, karikatur dan sebagainya. Kesemua format itu berkongsi etika yang sama, bahawa menegur pemerintah adalah sebahagian daripada proses check and balance demi memastikan kuasa berada di tangan yang betul, dan turun ke rakyat dengan polisi-polisi yang betul lagi saksama.

Gerakan Islam, NGO dan pelbagai pertubuhan yang ada di dalam masyarakat, mempunyai pelbagai tanggungjawab dan peranan.
Malangnya, dalam suasana seperti apa yang ada hari ini, agenda menyelamatkan ummah dari ancaman Sekularisma hilang prioriti. Tanggungjawab menegakkan keadilan pada ekonomi, sosial dan undang-undang ditolak ke tepi. Tugas umat Islam menyelamatkan saudara-saudara mereka dari gelombang Riddah apabila manusia murtad menerusi peruntukan undang-undang dan lemahnya penguatkuasaan, sudah tidak lagi dibicarakan.

Malah bukan hanya itu, yang dinamakan sebagai perjuangan Islam.
Bagaimana pula dengan polisi kerajaan dalam isu alam sekitar, pencemaran udara dan air, hinggalah kepada pencemaran budaya dan cara hidup? Semua itu juga sebahagian daripada agenda Islam. Sistem Islam bukan hanya memperkatakan tentang undang-undang, malah mencakupi seluruh aspek yang berkaitan dengan kehidupan manusia.

Tugas pendukung agenda Islam sangat banyak. Sekurang-kurangnya ia sama banyak dengan kementerian dan jabatan kerajaan itu sendiri. Mereka perlu memantau keberkesanan penguasa di dalam isu kehakiman, sama juga di dalam isu kesihatan, penjagaan alam sekitar, kebajikan pekerja, pendidikan, dan senarai ini berterusan.
Di mana perjuangan al-Quran dan al-Sunnah dalam memperkatakan hal ini, jika kita semua diheret kepada sekadar persoalan “boleh atau tidak kita menegur pemerintah?”. Pemerintah sendiri pun tidak sangka ada isu semacam itu di belakang mereka.
Bukanlah saya bermaksud mengajak pembaca menjadi pembangkang secara membuta tuli. Namun pemantauan oleh rakyat kepada pemerintah, adalah suatu amalan yang terlalu biasa yang manusiawi, tiada apa yang ganjil. Bukan sahaja sistem pemerintahan Islam, malah mana-mana sistem pemerintahan yang sedar akan ‘keadilan’ menerima kepada adanya saluran untuk mereka yang memerintah, dinasihati oleh mereka yang diperintah.
Tetapi dengan krisis pemikiran yang menimpa umat Islam, kita menjadi komuniti yang pelik.

KEGELOJOHAN MEMAHAMI HADITH
Yang diutamakan ialah ‘jangan menentang pemerintah selagi mana mereka bersolat’. Ini berpunca daripada kegelojohan untuk memahami hadith tanpa menggunakan alat-alat Syara’ seperti Usul Fiqh, perbahasan mengenai Maqasid dan sebagainya. Apakah tujuan Rasulullah s.a.w mendisiplinkan proses menegur pemerintah? Ada besar hikmahnya di situ. Soal mencegah kemungkaran tanpa menimbulkan kemungkaran yang lebih besar, diberikan keutamaan di situ. Agar jangan sampai semua orang secara semberono membunuh kestabilan masyarakat demi membetul satu dua kesilapan pemerintah.

Tetapi perincian kepada soal ini begitu malas untuk diambil peduli. Yang penting, saya telah petik hadith yang sahih di dalam pendirian saya. Itu kehendak hadith sahih yang saya rujuk. Saya sahih kerana rujukan saya sahih. Rujukan anda apa?

Hanya dengan ‘Islam’, kesilapan dan kesalahan pemerintah dapat didiamkan! Mahukah anda sebagai mangsa kepincangan profil tinggi, dengan Islam yang begini?
Lalu muncullah agamawan yang sibuk memperingatkan rakyat agar mentaati pemerintah lebih daripada peringatannya agar pemerintah mentaati Allah!

اذا رأيت العالم يخالط السلطان مخالطة كثيرة فاعلم أنه لص

الراوي: أبو هريرة المحدث: السيوطي – المصدر: الجامع الصغير – الصفحة أو الرقم: 628 خلاصة حكم المحدث: حسن
Jika engkau melihat seorang alim banyak bercampur gaul dengan pemerintah, ketahuilah dia itu adalah seorang pencuri”
HASRIZAL @ www.saifulislam.com

Copyright @ 2013 INSANI.