Thursday, October 10, 2013

Filled Under:

Kawasaki Z250: Amacam bro?

  • Z250
 1 / 1 
SEJAK hujung tahun lalu, khabar angin berkenaan Z250 tersebar meluas dalam kalangan peminat motosikal tanah air. Ia menjadi bualan hangat sebaik sahaja Z800 ‘meletup’ di pasaran tempatan. Saya tidak hairan mengapa Z250 menjadi perhatian ramai kerana rekaannya berasaskan konsep naked Z800.

Selepas dilancarkan pada hujung September lalu, ahli keluarga Z terbaharu ini tampil dengan rekaan agresif. Beberapa ciri Z250 berkongsi dengan model fairing penuh Ninja 250R termasuklah unit enjin, kerangka, panel meter, fork hadapan dan juga tetapan sistem suspensi belakang.

Setelah menguji model naked versi kecil ini di trek Speedway PLUS Circuit pada hari pelancarannya, sesi tunggang uji dijalankan semula bagi menguji prestasi di jalan raya biasa, lebih-lebih lagi apabila ia diperkenalkan dengan tagline Rule the Street.

Melihat daripada pandangan hadapan, Z250 tampak tegap dan berkarakter. Ciri street-fighter terserlah dengan kedudukan lampu, rekaan lampu, reka bentuk tangki dan penutup sisi enjin yang lebar.

Akan tetapi, apabila saya melihat daripada sudut sisi, susun atur enjin agak lompong sedikit. Ia bukanlah satu isu yang besar memandangkan ia cuma menggunakan enjin 250cc.

Kedudukan tunggangan lebih selesa berbanding Ninja 250R. Hal ini disebabkan bar pemegang lebih lebar berbanding model replika perlumbaan 250cc itu. Postur tunggangan lebih santai dan sesuai untuk tunggangan di kawasan bandar.

Melihat kepada panel meter, ia menggunakan set instrumen Ninja 250R yang menggabungkan takometer analog dengan skrin digital LCD pelbagai fungsi. Cuma, ia menggunakan cahaya latar berwarna oren, berbeza dengan Ninja yang menggunakan cahaya putih pada panel meter.

Perkara yang sangat saya senangi dengan Z250 ialah tentang klac yang ringan. Ia menjadikan kawalan mudah dan ia sangat sesuai untuk dijadikan motosikal permulaan bagi wanita yang ingin berjinak-jinak dengan motosikal berkuasa tinggi.

Prestasi enjin empat lejang juga tidak banyak berbeza dengan prestasi Ninja 250R. Unit penjana kuasa yang mengekstrak 31.5 kuasa kuda pada kitaran 11,000 rpm lancar dengan gabungan sistem suntikan bahan api. Sistem suntikan bahan api teknologi Kawasaki tersebut memastikan jumlah penggunaan bahan api ideal di dalam semua keadaan tunggangan.

Padanan teknologi injap dual-throttle pula berfungsi untuk memastikan tindak balas lebih lancar di seluruh julat rpm. Sepanjang perjalanan, saya merasakan kawalan pendikit memberi respons yang baik kepada pengagihan kuasa enjin.

Semasa pecutan, ia mudah mencapai kelajuan 100 kilometer sejam (km/j). Setiap kali perubahan gear dilaksanakan, ada kalanya saya terasa anjakan terhasil daripada kuasa enjin. Menguji Z250 di lebuh raya dalam kelajuan sekitar 125km/j hingga 140 km/j, saya mula merasakan arus angin yang agak kuat. Mungkin ia memerlukan pengadang angin yang lebih besar untuk keselesaan pecutan di lebuh raya.

Daripada aspek pengendalian di selekoh pula, motosikal ini tidak mempunyai sebarang isu untuk menghadapi pelbagai corak selekoh. Z250 ringan dan mudah dikendalikan. Peredam bunyi ‘short style’ yang ditampilkan pula direka khas untuk tidak mengganggu sudut tirus ketika mengambil selekoh.

Fork hadapan teleskopik 317 milimeter(mm) dan penyerap hentak Uni-Trak belakang boleh laras memainkan peranan yang penting dalam prestasi pengendalian. Ia telah ditetapkan untuk memperoleh keselesaan tunggangan di jalan raya biasa.

Secara keseluruhan, Z250 menawarkan tunggangan yang menyeronokkan dan sangat sesuai untuk kegunaan di kawasan bandar. Dijual dengan tanda harga RM21,589, Z250 pasti mendapat tempat dalam pasaran kelak

0 comments:

Post a Comment

Copyright @ 2013 INSANI.